Hoe Yean pecah rekod kebangsaan 200m rampaian individu

Bernama
Mac 12, 2023 21:00 MYT
Hoe Yean berazam untuk memecahkan rekod atau memperbaiki catatan masa pada kejohanan seterusnya. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Perenang meningkat naik negara, Khiew Hoe Yean nyata berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara 200 meter (m) rampaian individu (IM) di Kejohanan Renang Terbuka Malaysia Ke-65 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, di sini hari ini.
Pemenang pingat emas Sukan SEA edisi lepas itu unggul merekodkan 2 minit 03.77 saat (s) untuk memadamkan rekod Lim Ching Hwang yang kini mewakili Singapura iaitu 2:03.86s yang dibuat pada Kejohanan Bahamas 2016.
Beliau bagaimanapun sekadar meraih pingat gangsa selepas atlet Taiwan Wang Hsing Hao mengungguli acara itu dengan catatan 2:01.50s, diikuti Wantenaar Ronan Zuberg dari Nambia yang merekodkan 2:03.64s.
Hoe Yean melahirkan rasa gembira apabila mampu membuat persembahan terbaik di laman sendiri dan berazam untuk memecahkan rekod atau memperbaiki catatan masa pada kejohanan seterusnya.
"Saya memang tidak sangka mampu memecahkan rekod kerana saya hanya berada di sini untuk buat yang terbaik. Pada mulanya memang tidak perasan namun orang ramai yang memberitahu perkara itu (rekod kebangsaan).
"Bagus sebab ia rekod baharu kebangsaan dan standard baharu, saya berharap selepas ini saya boleh mencatatkan catatan masa yang lebih baik kerana hanya terdapat perbezaan beberapa saat. Namun, setakat ini semuanya berjalan lancar dan harap dapat teruskan rentak ini untuk esok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau turut berjaya merangkul pingat emas menerusi acara 4x200m gaya bebas berganti-ganti lelaki bersama Muhammad Dhuha Zulfikry, Muhammad Farhan Andi Maroef dan Jayden Tan, manakala sekadar meraih tempat keempat bagi acara 100m gaya bebas lelaki.
-- BERNAMA
#Khiew Hoe Yean #perenang #Kejohanan Renang Terbuka Malaysia #pecah rekod
;