Hoe Yean mahu pecah rekod kebangsaan di Olimpik Paris
Bernama
Julai 11, 2024 16:02 MYT
Julai 11, 2024 16:02 MYT
KUALA LUMPUR: Perenang negara Khiew Hoe Yean menyasarkan untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya dalam acara 400 meter (m) ketika beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024 yang membuka tirainya 26 Julai ini.
Demi merealisasikan impian berkenaan, atlet berusia 22 tahun itu bakal menambah baik kelajuan renangannya ketika menjalani kem latihan di Ireland minggu depan.
"Matlamat saya ialah memperbaiki masa peribadi (rekod kebangsaan). Saya sedang berusaha mengatasi masa terbaik saya 3:48.36 saat (s) supaya saya boleh terus meningkat.
"Ini adalah sebahagian dari matlamat utama di Paris. Saya sangat gembira untuk berada di sana. Saya hanya ingin melakukan persembahan yang terbaik dan meraih pengalaman di Paris," katanya pada sesi latihan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini hari ini.
Sebelum ini, Hoe Yean memecahkan rekod kebangsaan 400 m gaya bebasnya pada Terbuka Australia di Gold Coast April lalu.
Dalam pada itu, Hoe Yean berkata melangkah ke temasya sukan beprestij itu merupakan impiannya sejak kecil dan tidak mahu mensia-siakannya.
"Telah menjadi impian saya untuk bertanding di Olimpik semenjak saya mula berenang, ketika berusia lapan tahun saya beritahu ibu bahawa saya mahu ke Olimpik suatu masa nanti, ia impian dari kecil lagi, selalu mencari idola saya," katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi perenang wanita negara Tan Rouxin mengakui tidak menjangka akan membuat penampilan di temasya berprestij itu pada usia 18 tahun.
Justeru, beliau akan menggunakan peluang beraksi di Olimpik itu sebagai medan untuk mengumpul pengalaman selain berharap mampu memecahkan rekod peribadinya dalam acara 100 m kuak dada.
"Saya fikir ini adalah memori yang tak akan dapat diIupakan kerana dapat menyertai Olimpik pada usia sebegini muda. Saya sangat gembira dan teruja untuk mewakili Malaysia," katanya.
Terdahulu, Ketua Kontinjen ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin melawat kem renang bagi berjumpa Hoe Yean dan Rouxin sebelum ke kem Olahraga di Trek Olahraga Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.
-- BERNAMA