Hodak kecewa pemain KL City hanya 'bercuti' ke Chiang Mai

Sinar Harian
September 29, 2022 11:25 MYT
Hodak berkata, berdasarkan prestasi kedua-dua pemain itu ketika menewaskan Sarawak United FC, ia jelas mengganggu persembahan Declan, manakala Zhafri pula bermain dengan baik. - Foto Sinar Harian
KETUA jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak menyifatkan penyertaan dua pemain skuad warga kota bersama Harimau Malaya ke Chiang Mai dalam saingan Piala Raja Thailand baru-baru ini cuma sekadar 'bercuti'.
Beliau kecewa dengan tindakan pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon yang tidak menghormati tugasnya sebagai jurulatih yang memberi pelepasan kepada Declan Lambert dan Zhafri Yahya tetapi mereka tidak beraksi.
Enggan menyalahkan Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menurutnya telah membantu KL City FC dengan menyusun semula jadual dan memastikan mereka menamatkan saingan liga pada tempoh yang ditetapkan.
“Ini adalah disebabkan seorang individu, ini adalah antara jurulatih. Beliau tidak menghormati saya. Sudah tentu saya kecewa.
"Kami minta pelepasan untuk mereka kerana kami sedang buat persediaan untuk perlawanan paling penting kelab ini, tetapi beliau bawa dua pemain kami untuk bercuti," katanya.
Menurutnya, beliau akan memastikan perkara ini tidak berlaku lagi pada masa depan kerana ia menjejaskan persiapan pasukannya untuk perlawanan akhir Antara Zon Piala AFC menentang kelab Uzbekistan, Sogdiana.
Beliau berkata, berdasarkan prestasi kedua-dua pemain itu ketika menewaskan Sarawak United FC, ia jelas mengganggu persembahan Declan, manakala Zhafri pula bermain dengan baik.
"Bagi saya pemergian mereka ke sana adalah satu pembaziran masa. Seorang hanya main 10 minit dan seorang lagi tidak bermain langsung," katanya.
"Zhafri bermain dengan baik tetapi saya tidak gembira dengan persembahan Declan, beliau patut buat dengan lebih baik," katanya.
Tambahnya, masih ada lagi ruang yang perlu diperbaiki oleh mereka sebelum berangkat ke Uzbekistan walaupun berjaya membelasah Sarawak United 5-0.
Beliau berkata, perlawanan menentang Sogdiana pastinya akan lebih mencabar kerana pasukan itu lebih kuat dan cuaca di sana yang lebih kering. - Sinar Harian
#Kuala Lumpur City FC #Bojan Hodak #harimau Malaya #piala raja thailand
;