Hilang galah, Nor Sarah gagal lakukan lompatan

Bernama
September 18, 2022 14:37 MYT
"Saya tiada keyakinan untuk beraksi kerana tidak menggunakan galah yang saya bawa sendiri." - Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Akibat kehilangan galah kepunyaannya, atlet olahraga Pahang Nor Sarah Adi gagal merekodkan sebarang catatan mata pada pusingan akhir lompat bergalah wanita Sukan Malaysia (Sukma), hari ini.
Pemenang pingat emas acara sama di Sukan SEA Vietnam 2021 itu memaklumkan terpaksa menggunakan galah bukan miliknya sehingga menyebabkan beliau hilang fokus dan gagal melakukan lompatan menerusi tiga cubaan.
"Bagi acara lompat galah ini tidak berapa baik kerana tiada catatan berjaya dibuat. Saya tiada keyakinan untuk beraksi kerana tidak menggunakan galah yang saya bawa sendiri.
"Mungkin galah itu tertukar semasa atlet lain menjalani latihan sebelum ini," katanya kepada pemberita.
Ratu pecut Sukma 2022 itu bagaimanapun menyifatkan keadaan yang dialaminya itu sebagai pemangkin semangat untuk penyertaan sukan akan datang.
"Apa pun saya reda dan akan kembali bangkit untuk besarkan lagi nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Saya terima semua ini sebagai pengajaran," katanya.
Pada acara tersebut yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, atlet Sarawak Evelyne Tan Xie Yie dinobatkan selaku juara selepas melakukan lompatan pada ketinggian 2.90 meter (m), manakala tempat kedua diraih atlet Wilayah Persekutuan Nur Anis Natasha Abdul Razif (2.80m) diikuti Ch'ng Qin Yan dari Pulau Pinang (2.50m).
-- BERNAMA
#SUKMA #atlet olahraga #lompat bergalah #Nor Sarah Adi
;