Hilang bisa di EPL, Wayne Rooney berkelana ke MLS
Agensi
Mei 23, 2018 17:54 MYT
Mei 23, 2018 17:54 MYT
WAYNE Rooney bukan nama asing bagi peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL). Menempa nama bersama Manchester United, Rooney meledak 183 jaringan dalam 393 penampilan.
13 tahun bersama The Red Devils, Rooney akhirnya kembali ke pangkuan kelab lamanya Everton hujung musim lalu namun jodohnya di Goodison Park mungkin tidak lama meskipun muncul penjaring terbanyak kelab itu musim ini.
Rooney kini mencari cabaran baharu. Bukan lagi di EPL tetapi di Liga Bola Sepak Major (MLS) Amerika Syarikat.
Bekas kapten England berusia 32 tahun ini bakal berangkat ke Washington minggu ini bagi bertemu pengurusan tertinggi kelab DC United.
Difahamkan Rooney ditawarkan kontrak sehingga penghujung musim 2020 dan dia dijangka secara rasmi menyertai DC United ketika jendela perpindahan pemain dibuka semula Julai ini.
Bagaimanapun keputusan mutlak masih di tangan Everton kerana Rooney masih ada baki kontrak setahun lagi dengan nilai gaji dan bonus berjumlah 7.5 juta pound.
Rooney kini memegang rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Manchester United selain menjulang lima kejuaraan EPL dan satu gelaran Liga Juara-Juara Eropah.
#Amerika Syarikat
#bola sepak
#England
#EPL
#Liga Perdana Inggeris
#Manchester United
#Washington
#Wayne Rooney