Herve Renard letak jawatan ketua jurulatih Arab Saudi

Astro Arena
Mac 30, 2023 13:10 MYT
Renard, yang masih memiliki kontrak dengan Arab Saudi sehingga 2027, akan mengambil alih pasukan wanita Perancis menjelang saingan Piala Dunia di Australia dan New Zealand pada Julai depan. - Stadium Astro
ARAB SAUDI mengumumkan peletakan jawatan ketua jurulatihnya, Herve Renard, yang akan disahkan menjadi ketua jurulatih skuad wanita Perancis.
Renard, yang masih memiliki kontrak dengan Arab Saudi sehingga 2027, akan mengambil alih pasukan wanita Perancis menjelang saingan Piala Dunia di Australia dan New Zealand pada Julai depan.
Jurulatih berusia 54 tahun itu, yang memenangi Piala Negara-Negara Afrika sebanyak dua kali, akan menggantikan tempat Corinne Diacre sebagai jurulatih Les Bleues.
Renard mula melatih Arab Saudi pada 2019 dan berhasil membawa pasukannya menyertai pusingan akhir Piala Dunia sebanyak dua kali berturut-turut selain turut menjadi jurulatih import yang merekodkan kemenangan terbanyak dalam sejarah negara itu.
Dia mengemudi Arab Saudi menewaskan Argentina 2-1 dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan di Qatar sebelum tersingkir selepas tewas kepada Poland dan Mexico. -- Stadium Astro
#Herve Renard #letak jawatan #pasukan Arab saudi #jurulatih skuad wanita Perancis
;