Herrera: Saya tidak sentuh bola

Astro Arena
April 17, 2017 08:18 MYT
Pemain tengah Sepanyol itu membuat lorongan menarik untuk Rashford melakukan penyudah pada minit ketujuh, sebelum dia sendiri menjaringkan gol pada separuh masa kedua untuk menewaskan pendahulu Liga Perdana Inggeris.- Foto Reuters/Carl Recine Livepic
Penjaring gol kemenangan Manchester United, Ander Herrera, fikir pengadil, Bobby Madley, bertindak betul kerana tidak menyalahkan bola terkena tangannya dalam usaha meraih gol pembukaan ketika menewaskan Chelsea 2-0 di Old Trafford, malam tadi.
Pemain tengah Sepanyol itu membuat lorongan menarik untuk Marcus Rashford melakukan penyudah pada minit ketujuh, sebelum dia sendiri menjaringkan gol pada separuh masa kedua untuk menewaskan pendahulu Liga Perdana Inggeris.
Chelsea berang Herrera tidak dihukum kerana bola terkena tangan ketika dia memintas hantaran Nemanja Matic, untuk mengatur gerakan bersama Rashford tetapi dia berasakan tindakannya itu tidak disengajakan, bermakna keputusan betul telah dibuat.
"Saya tidak mahu menyentuh bola dengan tangan," kata Herrera kepada Sky Sports selepas perlawanan.
"Saya berlari sambil tangan berada di sebelah badan saya. Saya tidak tahu jika bola menyentuh tangan saya atau tidak tetapi ia bukan niat saya.
"Dalam bola sepak saya fikir jika anda tidak mempunyai niat untuk menyentuh bola dan tangan anda berada di kedudukan biasa ia (dianggap) tidak terkena tangan."
Herrera gembira dengan prestasi United, kemenangan yang menyaksikan mereka naik ke tangga kelima liga dan empat mata di belakang Manchester City, dengan satu perlawanan di dalam tangan.
"Ia hampir sempurna," kata Herrera, yang dibuang padang ketika United tewas kepada Chelsea di Stamford Bridge dalam Piala FA, bulan lepas.
"Anda sentiasa mempunyai beberapa perkara untuk ditingkatkan tetapi pertahanan adalah sempurna. Mereka berada di puncak liga dan mereka tidak membuat apa-apa peluang.
"Kami mengecewakan mereka ketika serangan balas, kami bermain bola sepak, mengawal perlawanan dan mengawal bola dengan baik, maka kami boleh gembira."
Mengulas mengenai jaringan gol liga pertamanya selepas 14 bulan, dia berkata: "Saya mencari gol dalam tempoh yang lama -- sentiasa sesuatu (halangan) berlaku, palang, diselamatkan penjaga gol. Saya agak bernasib baik kali ini!
"Tetapi kami mencipta lebih banyak peluang daripada mereka dan kami berhak untuk kemenangan ini."
#Ander Herrera #Bobby Madley #Chelsea #Liga Perdana Inggeris #Manchester City #Manchester United #Marcus Rashford #Nemanja Matic #Old Trafford #sepanyol
;