Herobotic dari IKBN Bukit Mertajam muncul juara pertandingan Robot Tempur Malaysia 2023
Bernama
Ogos 27, 2023 20:27 MYT
Ogos 27, 2023 20:27 MYT
KUALA LUMPUR: Kumpulan Herobotic dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam muncul juara Pertandingan Robot Tempur Malaysia 2023 selepas menewaskan Team BM menerusi kategori 45 kilogram hari ini.
Kejayaan itu menyaksikan Herobotic yang dibarisi lima pelajar, membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta piala pusingan, pingat dan sijil, manakala Team BM dari IKBN yang sama, memenangi wang tunai RM7,000, pingat dan sijil.
Pertandingan Robot Tempur Malaysia kali keenam itu, merupakan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama strategik antara Pusat Sains Negara (PSN), MyRobotz Enterprise dan The Summit USJ Management Corporation.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI Ruziah Shafei berkata pertandingan tersebut, bertujuan untuk memperkasa bidang sains, teknologi dan inovasi (STI), serta memupuk minat generasi muda terhadap pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui pendekatan yang lebih menyeronokkan.
Selain itu, beliau berkata pertandingan bertemakan Pantang Berundur itu juga, merupakan salah satu inisiatif MOSTI dalam merealisasikan Pelan Halatuju Robotik Kebangsaan 2021-2030, bagi pemerkasaan bidang robotik negara.
"Ia (Pertandingan Robot Tempur) merupakan salah satu pemerkasaan pembangunan bakat teknikal robotik, untuk membekalkan tenaga mahir bagi penggunaan industri.
"Ini memberi peluang kepada para peserta untuk terus menambah kemahiran dan profesional di dalam bidang robotik dan menyumbang kepada ekonomi negara," katanya ketika berucap pada majlis penutupan Pertandingan Robot Tempur Malaysia 2023 di Subang Jaya, dekat sini hari ini.
Ruziah berkata cabaran utama pertandingan itu ialah setiap peserta perlu menghasilkan robot yang berkeupayaan bertempur satu lawan satu, dalam gelanggang yang disediakan.
Beliau berkata para peserta juga perlu mengaplikasikan ilmu pengetahuan mereka dalam bidang "wireless technology" dan "robot design", yang meliputi ciri-ciri inovasi dan kreativiti.
Sepanjang empat hari pertandingan itu berlangsung sejak 24 Ogos lepas, sebanyak 32 penyertaan diterima yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi, kolej, Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan IKBN di seluruh negara.
Sementara itu, Ruziah berkata Pertandingan Robot Tempur Malaysia Beregu 2023 pula, akan diadakan di Putrajaya pada 19 dan 20 Nov ini, dengan menampilkan pertempuran robot berkumpulan dalam satu gelanggang semasa Pertandingan Akhir Malaysia Techlympics 2023.
-- BERNAMA