Henti kaitkan sukan dengan kaum - Saifuddin
Bernama
November 8, 2018 07:00 MYT
November 8, 2018 07:00 MYT
Tindakan mengaitkan sukan dengan sesuatu bangsa perlu dihentikan kerana sukan seharusnya bersifat untuk semua, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau yang sememangnya aktif dalam sukan bola keranjang menambah kerajaan mahu supaya persepsi itu, seperti mengaitkan sukan bola keranjang dengan bangsa Cina, dihentikan kerana sukan adalah medium perpaduan.
"Sukan bola keranjang berasal dari Amerika Syarikat dan di Malaysia, sejarahnya memang sukan ini dibangunkan oleh masyarakat Cina.
"Tetapi pada masa sekarang, sudah ada lebih 500,000 orang bukan Cina yang aktif bermain sukan ini dan kita mahu melihat supaya tindakan mendominasi sukan oleh kaum dihentikan," katanya.
Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata demikian semasa merasmikan Pertandingan Bola Keranjang 3 Lawan 3 Piala Datuk Saifuddin Abdullah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Tanah Putih di sini pada Khamis, yang melibatkan 103 pasukan dari Kuantan, Pekan, Temerloh dan Bera.
Beliau yang juga pengasas Liga Bola Keranjang Wanita Malaysia dan penaung Komuniti Liga Bola Keranjang Kebangsaan menambah sukan juga dapat membantu pembentukan sahsiah pelajar.
"Pelajar yang seimbang akademik dan bidang sukan lazimnya mempunyai sahsiah baik seperti berdisiplin, berkomunikasi dengan baik, boleh kerja berpasukan dan mempunyai semangat bertolak ansur," katanya.
Saifuddin menambah pelajar yang aktif dalam sukan juga mempunyai nilai tambah dalam permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi.
Katanya, mereka juga boleh memohon biasiswa yang ditawarkan kerajaan sama ada menerusi Kementerian Pendidikan atau Kementerian Belia dan Sukan.
Pada program itu, Saifuddin juga secara spontan mencabar empat orang pemain untuk bertanding dengannya dalam acara 'free throw' yang kemudiannya mengundang gelak ketawa beberapa pelajar.
"Kenapa? Tak percaya saya boleh bermain (bola keranjang)?... kalau tengok badan saya sekarang memang susah nak percaya, tapi saya pernah main dan juga seorang jurulatih," katanya.
Walaupun mengakui kemahirannya 'sudah berkarat' kerana sudah enam bulan tidak bermain, Saifuddin masih mampu menewaskan pelajar itu selain turut berkongsi 'petua' untuk melakukan jaringan sempurna.
-- BERNAMA