Hendrawan: 'Ranking' No.1 tidak lagi penting untuk Lee Chong Wei
Astro Arena
Jun 7, 2016 14:29 MYT
Jun 7, 2016 14:29 MYT
Tiada pujian melambung daripada jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan, terhadap pencapaian Datuk Lee Chong Wei yang kembali merampas kedudukan pemain No.1 dunia.
Malah, beliau menganggap ranking tersebut tidak lagi penting buat anak didiknya itu.
Hendrawan menjelaskan keutamaan Chong Wei ketika ini adalah untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik, bukannya status pemain No.1 dunia.
"Chong Wei sendiri pernah katakan yang ranking nombor satu dunia bukan lagi keutamaannya. Saya juga fikir perkara yang sama, apa yang paling penting adalah Olimpik," kata jurulatih dari Indonesia itu.
Chong Wei, 34, kembali merampas kedudukan pemain No.1 dunia selepas menjuarai Terbuka Indonesia, kelmarin.
Hendrawan bagaimanapun berkata kejayaan Chong Wei di Jakarta itu menjadi perangsang dalam persiapannya ke Olimpik Rio pada Ogos depan.
"Sudah pasti persiapannya di landasan yang tepat. Baki dua bulan sebelum Olimpik ini kita akan lebih fokus kepada taktikal dan strategi.
"Selain itu, Chong Wei perlu belajar untuk mengatasi tekanan serta menguatkan lagi fizikalnya kerana kita jangkakan Olimpik kali ini memang sukar," tambahnya.
Pemenang perak Olimpik dua kali, Chong Wei, akan beraksi di Terbuka Australia yang bermula hari ini.
Dalam aksi pembuka tirai, dia akan bertemu pemain muda Indonesia, Jonatan Christie.