Hazard akui tidak berniat singgung hati penyokong Real Madrid
Astro Arena
Mei 7, 2021 11:50 MYT
Mei 7, 2021 11:50 MYT
EDEN HAZARD memohon maaf kepada penyokong Real Madrid selepas dia dilihat tertawa bersama-sama pemain Chelsea sejurus tersingkir daripada separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL), semalam.
Pemain antarabangsa Belgium itu, yang menghabiskan tujuh musim di Stamford Bridge sebelum menyertai Madrid pada 2019, dikritik hebat kerana sempat berjenaka dengan beberapa bekas rakan sepasukannya itu.
Lebih-lebih lagi Hazard gagal memperagakan prestasi yang memberangsangkan dan bergelut dengan kecederaan sepanjang dua musimnya di Santiago Bernabeu dan mula dikaitkan dengan perpindahan.
Dia bermain 89 minit dalam kekalahan 0-2 di London barat itu menerusi sentuhan penyudah Timo Werner dan Mason Mount untuk Madrid tewas 1-3 secara agregat.
Sejumlah bekas pemain Madrid membidas Hazard atas tindakannya itu dengan Fernando Morientes meminta pemain berusia 30 tahun berkenaan untuk meminta maaf kepada peminat.
Hazard kemudian muncul di media sosial semalam dengan mengeluarkan satu kenyataan pendek yang berbunyi: "Saya minta maaf. Saya telah membaca banyak pendapat mengenai saya hari ini dan bukan niat saya untuk menyinggung perasaan peminat Real Madrid.
"Sudah menjadi impian saya untuk bermain bersama Real Madrid dan saya datang ke mari untuk menang. Musim ini belum berakhir dan kami perlu bersatu padu untuk untuk menawan La Liga! Hala Madrid!"
Hazard memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), dua Liga Europa, Piala Liga Inggeris (EFL) dan Piala FA ketika bersama The Blues.
Penyerang itu hanya tampil 40 kali buat gergasi Sepanyol itu sejak mencapai kesepakatan untuk berhijrah termasuk 18 penampilan dalam kempen 2020-21.
Dia mungkin berpeluang menebus tindakannya itu dengan menghadiahkan kejuaraan liga buat Madrid dengan misi menang ke atas pasukan di tangga keempat, Sevilla, awal pagi Isnin ini.