Havertz pastikan Chelsea kekal padu

Sinar Harian
Mac 13, 2022 07:13 MYT
Aksi Kai Havertz selepas tamat perlawanan EPL antara Chelsea dan Newcastle United di stadium Stamford Bridge di London, 13 Mac 2022. (Foto AP)
JARINGAN minit ke-89 Kai Havertz membolehkan Chelsea terus kekal dalam kelompok empat terbaik saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Newcastle United 1-0 dalam perlawanan di Stadium Stamford Bridge pada Ahad.
Ini merupakan perlawanan pertama The Blues sejak kerajaan Britain mengenakan sekatan dan pembekuan aset terhadap pemilik Chelsea, Roman Abramovich susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine sebelum ini.
The Magpies kendalian Eddie Howe yang berusaha mengelakkan diri dari zon penyingkiran ternyata berjaya menghadirkan segala kepayahan kepada jentera serangan The Blues yang berstatus juara Eropah pimpinan Thomas Tuchel.
Ketika perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Havertz yang menyambut kemas hantaran Jorginho sebelum melepaskan penyudah keramat kaki kirinya bagi menewaskan Martin Dubravka.
Kemenangan ke-17 selepas mengharungi 28 perlawanan meletakkan The Blues di tempat ketiga, 10 mata di belakang pendahulu Manchester City yang beraksi awal pagi Isnin.
Bagaimanapun, The Blues berada di landasan untuk menamatkan saingan di empat teratas untuk menjamin tempat dalam Liga Juara-Juara musim depan.
Sementara itu, Newcastle United berada di tangga ke-14, sembilan mata di hadapan zon penyingkiran liga.
Artikel asal di Sinar Harian
#Chelsea #Kai Havertz #Liga Perdana Inggeris #Newcastle United
;