Hatrik Xherdan Shaqiri bantu Switzerland layak ke pusingan kalah mati
Aizat Sharif
Jun 25, 2014 07:23 MYT
Jun 25, 2014 07:23 MYT
Selepas Thomas Muller menjadi pemain pertama dalam Piala Dunia 2014 yang mencipta hatrik ketika membantu Jerman membenam Portugal pada 16 Jun lalu, giliran Xherdan Shaqiri pula melakukan perkara yang sama ketika membantu Switzerland menewaskan Honduras 3-0 dalam perlawanan terakhir Kumpulan E di Arena di Amazonia, Manaus.
Pemain Bayern Munich itu meledak dengan jaringan pada minit keenam, 31 serta 71 dan jaringan tersebut berjaya membantu Switzerland untuk mengikuti langkah Perancis meneruskan cabaran Eropah dalam peringkat pusingan kedua.
Switzerland yang dari awal banyak melakukan serangan-serangan berbahaya ke kubu Honduras diberi tentangan sengit dari Honduras dimana banyak cubaan balas dilakukan oleh Honduras.
Pasukan Switzerland meraikan kemenangan mereka menewaskan Honduras. Foto AP
Honduras hampir berjaya mendapat gol apabila Juan Carlos Garcia berjaya mengatasi pertahanan Switzerland namun ketankasan penjaga gol Switzerland, Diego Benaglio mengagalkan usaha Honduras itu.
Keputusan tersebut kekal hingga tamat perlawanan.
Sementara itu dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E di Estadio do Maracana, Rio de Janeiro, keputusan seri tanpa jaringan antara Ecuador dan Perancis tidak cukup untuk membantu Ecuador untuk mengikuti jejak Perancis untuk layak ke peringkat kalah mati.
Ecuador yang bermain dengan 10 orang setelah pemain tengah, Manchester United, Luis Antonio Valencia dibuang padang akibat mengasari terhadap pemain Perancis, Lucas Digne terpaksa banyak bertahan dengan asakan-asakan berbahaya dari Perancis.
Bacary Sagna dari Perancis (kiri) berebut bola dengan Walter Ayovi dari Ecuador (kanan). Foto AP
Perancis yang sudah pun layak ke pusingan seterusnya melakukan banyak pertukaran keatas kesebelasan utama dalam pertemuan dengan Ecuador ini apabila Mathieu Valbuena, Patrice Evra, Olivier Giroud, Raphael Varane dan Mathieu Debuchy direhatkan dan memasukkan pemain-pemain seperti Laurent Koscielny, Bacary Sagna, Lucas Digne. Morgan Schneiderlin, Paul Pogba dan Loic Remy.
Namun, pertukaran demi pertukaran pemain yang dilakukan Perancis gagal menembusi pintu gol Ecuador yang dikawal rapi oleh Alexander Dominguez dan Ecuador pula hanya sekali sekala melakukan serangan balas melalui penyerang, Enner Valecia keatas kubu Perancis namun masih gagal mencari gol kemenangan yang dicari.
Sehingga tamat perlawanan, Ecuador dan Perancis gagal menghasilkan sebarang jaringan.
Pada peringkat pusingan kedua pada 1 dan 2 Julai nanti, Perancis selaku juara Kumpulan E akan bertemu Nigeria manakala Switzerland berdepan tugasan besar apabila dijadualkan bertemu Argentina.
PEMAIN PILIHAN ASTRO AWANI: Xherdan Shaqiri (Switzerland) dan Paul Pogba (Perancis).