Hatrik Tchetche julang Terengganu FC di Melaka

Bernama
Oktober 7, 2022 05:27 MYT
Tchetche meledak dua gol awal masing-masing pada minit ketiga dan ke-13, diikuti jaringan ketiga peribadinya pada minit ke-36, dalam perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka, malam tadi. - Foto terengganufc.com
KUALA LUMPUR: Hatrik penyerang import Kipre Tchetche membantu Terengganu FC (TFC) membenam Melaka United 4-2 malam tadi, sekali gus mencerahkan peluang skuad Penyu menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok tiga teratas, tatkala berbaki dua lagi perlawanan.
Pada pertembungan di Stadium Hang Jebat di Melaka, sokongan penyokong tuan rumah dan status sebagai pasukan pelawat, tidak menjejaskan rentak permainan TFC yang berjaya mendahului 3-1 pada separuh masa pertama menerusi hatrik Tchetche.
Penyerang dari Ivory Coast itu, 'mendiamkan' sorakan penyokong tuan rumah apabila meledak dua gol awal masing-masing pada minit ketiga dan ke-13, diikuti jaringan ketiga peribadinya pada minit ke-36 sebelum Melaka United memperoleh sepakan penalti disempurnakan Faris Shah Rosli pada minit ke-44.
Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah bermula cemerlang dan berjaya mengurangkan defisit jaringan hasil penyudah Muhammad Syahmi Shamsudin pada minit ke-52, namun TFC kekal bersemangat sebelum pemain kebangsaan Faisal Abdul Halim menyumbat gol keempat pasukan pada minit ke-70.
Selepas 20 perlawanan, TFC kekal di tangga ketiga liga dengan mengumpul 38 mata, satu mata dipisahkan dengan Sabah FC di posisi kedua, sementara Negeri Sembilan FC keempat dengan 35 mata, namun kurang satu perlawanan.
Ketika ini, TFC, Sabah dan Negeri Sembilan merupakan tiga pasukan yang sedang bersaing merebut dua slot beraksi di Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2023, yang akan diberikan kepada pasukan yang menamatkan saingan di tangga kedua dan ketiga liga musim ini.
Pada masa sama, aksi cemerlang pada separuh masa kedua di Stadium Likas, Kota Kinabalu menyaksikan Sabah FC berjaya bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut selepas membelasah pasukan tercorot liga Penang FC 4-1.
Bagaimanapun, pada babak pertama skuad tuan rumah bimbingan Datuk Ong Kim Swee menerima tentangan sengit Penang, namun akhirnya mendahului 1-0 selepas bekas pemain kebangsaan Baddrol Bakhtiar memecah kebuntuan gol pada minit ke-33.
Penang menyamakan kedudukan menerusi Adib Abdul Ra'op pada minit ke-70 tetapi Sabah pantas kembali mendahului dua minit berselang hasil sentuhan Park Tae-su sebelum Saddil Ramdani menjadikan kedudukan 3-1 selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-80.
Menghampiri masa penuh, Stuart Wilkin tampil mencetak nama sebagai penjaring selepas melengkapkan kemenangan 4-1 pasukan menerusi gol pada minit ke-89.
Dalam pada itu, Selangor FC mencatat kemenangan kedua berturut-turut di bawah bimbingan bekas Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe selepas mengatasi Petaling Jaya (PJ) City FC 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Penyerang muda Ahmad Danial Ahmad Asri muncul wira skuad Gergasi Merah selepas jaringan kemenangannya pada minit ke-81 menghadiahkan pasukan tiga mata berharga dan membalas dendam kekalahan 0-1 pada pertembungan liga Ogos lalu.
Sementara itu, aksi antara Negeri Sembilan FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi ditunda malam esok akibat cuaca buruk yang menyaksikan perlawanan malam tadi terpaksa ditangguh kira-kira satu jam, sebelum keputusan menunda dimuktamadkan.
Sementara itu, juara Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT), mengekalkan rekod tanpa kalah selepas terikat tanpa jaringan ketika menentang Sri Pahang FC, pada aksi yang tertangguh kira-kira satu jam 30 minit akibat hujan lebat di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
-- BERNAMA
#Liga Super #Terengganu FC #Kipre Tchetche #melaka united
;