Hatrik Kane bantu Bayern benam Bochum

Sinar Harian
September 24, 2023 13:00 MYT
Aksi Harry Kane menjaringkan gol kedua pasukannya ketika perlawanan Bundesliga antara Bayern Munich dan VfL Bochum di Allianz Arena, Munich, Jerman, 23 Sept 2023. (Foto AP)
PENYERANG berbisa, Harry Kane mencipta sensasi apabila melakar hatrik sulung dalam aksi Bundesliga sejak menyertai Bayern Munich pada musim panas lalu.
Kejayaan tersebut diraih ketika kapten England itu membantu kelabnya membelasah VfL Bochum 7-0 lewat malam Sabtu untuk mengutip tujuh gol secara peribadi, selain mencipta rekod kelab bagi gol terbanyak dalam lima perlawanan pertama liga.
Tujuh jaringan Kane itu meletakkannya di depan legenda kelab Gerd Mueller, Miroslav Klose dan Mario Mandzukic yang masing-masing menjaringkan lima gol dalam lima aksi pertama Bundesliga.
“Kami beraksi dengan baik dan mempunyai mentaliti yang tepat. Kami menjadikannya kelihatan mudah dan bertindak pantas dengan bola,” ujar Kane.
Dalam aksi itu, Kane yang mencipta perpindahan paling mahal dalam Bundesliga apabila menyertai kelab juara Jerman itu musim ini dengan harga 100 juta euro (RM499.8 juta) menyumbat gol pertama pada minit ke-13.
Sebelum itu Eric Maxim Choupo-Moting membuka tirai jaringan pada minit keempat, Matthijs de Ligt pula meledak pada minit ke-29 disusuli jaringan memukau Leroy Sane sembilan minit kemudian untuk gol keempat Bayern sebelum rehat.
Memasuki babak kedua Kane menyempurnakan penalti pada minit ke-54 sebelum pemain gantian Mathys Tel menyumbat gol keenam pada minit ke-82.
Kane kemudian melengkapkan hatrik pertamanya dalam Bundesliga dengan satu tampanan bijak pada minit ke-88.
Pengendali Bayern, Thomas Tuchel amat gembira dengan kemenangan bergaya itu yang menyifatkan aksi anak-anak buahnya sebagai sangat cemerlang.
“Kami beraksi pantas dengan gerakan lancar. Ia satu hari yang penuh kejayaan dan kami berhak melakar kemenangan. Ia satu persembahan sepasukan yang hebat,” katanya. - Sinar Harian
#Harry Kane #Bundesliga #Bayern Munich #gol terbanyak
;