Hatrik Caion bantu Selangor FC belasah Harini FT 6-0
Bernama
Mac 11, 2022 05:17 MYT
Mac 11, 2022 05:17 MYT
KUALA LUMPUR: Herlison Caion muncul wira Selangor FC, apabila jaringan hatriknya membantu juara lima kali itu, membelasah Harini FT 6-0 pada pusingan pertama aksi Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.
Skuad kendalian Michael Feichtenbeiner itu tidak menunggu lama untuk merobek gawang pasukan Liga M3 apabila Caion meledak jaringan pertama pada minit ke-17, sebelum Hyuri Henrique de Oliveira Costa menggandakan jaringan pada minit ke-29.
Skuad Gergasi Merah terus menambah derita pasukan amatur tersebut menerusi Safuwan Baharudin yang meledak gol ketiga pada minit ke-42 dan Syahir Bashah pula membuat jaringan gol keempat selang lima minit kemudian.
Caion yang merupakan penyerang import dari Brazil kemudian melengkapkan hatriknya menerusi jaringan pada minit ke-63 dan ke-67 untuk membawa Selangor ke pusingan kedua dengan penuh bergaya.
Sementara itu, Penang FC turut mara ke pusingan kedua selepas berkenduri gol untuk membenam Bukit Tambun FC 4-0 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Skuad Harimau Kumbang yang mengawal pemainan seawal wisel permulaan, mendapat peluang awal apabila Rafael Vitor Santos De Freitas dikasari pemain pertahanan Bukit Tambun FC, Harzanhafiz Hazlizanizan Ahwal dalam petak penalti pada minit ke-15.
Rafael Vitor tampil mengambil sepakan penalti itu dan menjaringkan gol sulung Penang FC pada minit ke-17, sebelum menambah jaringan menerusi Mohammad Alif Romli selang empat minit kemudian.
Babak kedua menyaksikan gawang Bukit Tambun dibolosi lagi menerusi Muhammad Rafiuddin Roddin yang bijak mencari ruang untuk menewaskan Mohd Hafidz pada minit ke-63.
Serangan bertali arus pasukan tuan rumah membuahkan hasil apabila Muhammad Danial Ashraf Abdullah berjaya meledak jaringan minit ke-90 untuk memuktamadkan kemenangan.
Kelantan United FC (KUFC) turut berpesta gol menewaskan Kinabalu Jaguar FC 4-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Dua gol KUFC dihasilkan Muhammad Haziq Mohd Subri masing-masing pada minit ke-34 dan Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin minit ke-42 separuh masa pertama.
KUFC kemudian menggandakan jaringan pada minit ke-51 menerusi Amidu Salifu dan minit ke-57 menerusi Jacob Njoku untuk terus mengekalkan penguasaan perlawanan sehingga wisel dibunyikan.
-- BERNAMA