BAYERN MUNICH 5 BENFICA 2

Robert Lewandowski mampu berdiri sebaris dengan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi selepas meledak hatrik terbarunya dalam Liga Juara-Juara (UCL), menurut bekas penyerang Bayern Munich, Mario Gomez.

Lewandowski menghasilkan persembahan yang mempesonakan dalam perlawanan ke-100 peribadinya di peringkat Eropeh menerusi tiga gol ketika membenam Benfica 5-2, awal pagi tadi, untuk mengesahkan slot ke pusingan 16.

Pencabar Ballon d'Or itu muncul pemain keenam yang menjaringkan gol dalam penampilan ke-100 UCL selepas Thierry Henry, Zlatan Ibrahimovic, Ronaldo, Andrea Pirlo dan Toni Kroos, bahkan bintang Poland itu menjadi pemain pertama yang menjaringkan lebih daripada sekali dalam permainan penting berkenaan.

Lewandowski turut meraikan hatrik keempatnya dalam UCL -– pemain ketiga terbanyak mencapainya dalam pertandingan itu selepas tonggak Manchester United, Ronaldo, dan bintang Paris Saint-Germain (PSG), Messi (masing-masing lapan).

Pada usia 33 tahun dan 73 hari, dia adalah penjaring hatrik keempat tertua selepas Olivier Giroud (34 tahun 63 hari), Ronaldo dan Claudio Pizarro (34 tahun 35 hari).

Tatkala Lewandowski terus berkembang di Munich, Gomez pantas memuji penggempur itu dengan melabelnya setaraf dominasi Ronaldo dan Messi yang mempunyai 11 anugerah Ballon d'Or di antara mereka.

"Dia berada di tahap yang berbeza," kata Gomez kepada Amazon Prime Video selepas perlawanan.

"Dia masih mempunyai beberapa tahun lagi, dia mampu mengejar mereka (Messi dan Ronaldo)."


Lewandowski membuka tirai jaringan di Allianz Arena pada minit ke-26, di mana Serge Gnabry menggandakan jaringan Bayern enam minit kemudian.

Selepas Morato mengurangkan defisit perlawanan, Leroy Sane kembali menjadikan kedudukan 3-1 pada awal separuh masa kedua selepas Lewandowski gagal menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama.

Penyerang itu, bagaimanapun, menebus kehampaan awalnya dengan jaringan kedua peribadi sejurus selepas sejam permainan apabila melambungkan bola melepasi jangkauan penjaga gol Benfica, Odysseas Vlachodimos.

Lewandowski menyempurnakan hatriknya enam minit sebelum tamat perlawanan selepas pemain gantian Benfica, Darwin Nunez, cuba merapatkan jurang.

"Dalam 20 minit pertama, saya hampir tidak menyentuh bola," Lewandowski memberitahu Amazon Prime Video.

"Ia bukan situasi mudah buat penyerang untuk terus bersabar.

"Selepas gol pertama itu, keadaan menjadi lebih mudah. ​​Gol kegemaran saya hari ini ialah gol kedua. Tapi saya terkilan dengan dua jaringan yang kami lepaskan.

"Ia memotivasikan kami. Ia amat mustahak buat Manuel Neuer."

Lewandowski menambah: "Saya tidak melakukan dengan baik dalam sepakan penalti, ia berpunca daripada kesilapan sendiri. Saya boleh mengagak ke mana penjaga gol akan merebahkan badan tetapi masih merembat ke arah sudut yang salah.

"Nasib baik, kami masih mampu menambah beberapa gol lagi seterusnya mengutip tiga mata lagi. Satu lagi kemenangan jelas."