Hasrat Tengku Abdullah letak jawatan Presiden FAM ditolak
Bernama
Februari 29, 2016 21:09 MYT
Februari 29, 2016 21:09 MYT
Hasrat Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk meletak jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ditolak oleh ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) badan induk itu, hari ini.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata keputusan yang dicapai pada mesyuarat Exco FAM kali ketujuh bagi penggal 2014-2018 itu akan dimaklumkan kepada Tengku Abdullah dalam masa terdekat.
"Keputusan sebulat suara untuk menolak surat peletakan jawatan November tahun lepas itu dibuat kerana percaya khidmat Tengku Abdullah masih diperlukan FAM," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, dekat sini, hari ini.
Pada September lepas, Tengku Abdullah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan kerana kecewa dengan prestasi skuad Harimau Malaysia dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.
Dalam perkembangan lain, Afandi berkata FAM telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) untuk menjadi tuan rumah Piala Suzuki AFF tahun ini.
"Difahamkan Vietnam dan Singapura turut menyatakan minat mereka," katanya.
"Vietnam dan Singapura pernah menjadi tuan rumah edisi sebelum ini, jadi saya berharap Malaysia akan diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh AFF.
"Bagaimanapun, venue belum dimuktamadkan lagi tetapi kita melihat penganjurannya di Kuala Lumpur," katanya.
Mengikut perancangan, Myanmar dan Filipina adalah dua tuan rumah asal untuk Piala Suzuki AFF 2016, yang dijadualkan akan diadakan pada November dan Disember ini.
Namun, minggu lepas, Persekutuan Bola sepak Filipina (PFF) telah menarik diri sebagai salah satu tuan rumah selepas gagal memenuhi kriteria stadium yang ditetapkan oleh AFF.