Hasihin mahu pertahankan pingat perak di Rio

Bernama
Mei 9, 2016 16:55 MYT
Pemanah negara Hasihin Sanawi memeriksa alat pemanahnya sebelum menjalani latihan sebagai persediaan akhir menyertai Sukan Para ASEAN Ke 8, 2015 Singapura, di Kallang Cricket Field, Rabu. Kejohanan tujuh hari itu bermula Khamis. - Gambar Bernama
Atlet memanah negara, Hasihin Sanawi bertekad mempertahankan pingat perak yang dimenanginya di Sukan Paralimpik London empat tahun lalu, walaupun masih belum layak ke edisi kali ini di Rio de Janeiro, Brazil.
Pemenang pingat perak acara recurve individu lelaki W1/W2 di London itu turut yakin dapat meningkatkan prestasinya yang tidak konsisten selepas kejayaan pada 2012 itu.
"Saya akui prestasi saya tidak konsisten selepas kejayaan di London.
Menjelang Paralimpik tahun ini, saya masih berusaha keras dan ketika ini keyakinan diri semakin meningkat.
"Apa yang penting, saya akan cuba sedaya upaya melayakkan diri ke Rio dan mempertahankan pingat saya selain mengembalikan prestasi saya," kata atlet berusia 33 tahun itu ketika ditemui Bernama semasa sesi latihan skuad negara di Pusat Kecemerlangan Paralimpik, di sini, hari ini.
Hasihin gagal mencatat sebarang kejayaan membanggakan selepas memenangi pingat perak empat tahun lalu, kecuali meraih perak di Kejohanan Para-Memanah Jemputan Antarabangsa ke-10 di Stoke Mandeville, London pada 2013.
Beliau juga terpaksa berpuas hati dengan pingat perak acara berpasukan di Sukan Para Asean 2011 dan 2014, selepas gagal memenangi sebarang pingat dalam acara individu, manakala pada edisi lalu di Singapura, beliau gagal membawa pulang sebarang pingat.
Hasihin mengalami lumpuh bawah paras pinggang selepas patah tulang belakang apabila jatuh dari atap bangunan, 11 tahun lepas ketika bekerja sebagai buruh binaan.
"Mula-mula ibu bapa tidak begitu gembira apabila saya mahu melibatkan diri dalam sukan ini pada 2010 kerana mereka tidak mengetahui peluang di dunia ini sangat luas. Saya juga tidak mahu menyusahkan mereka dan ingin mencapai sesuatu.
"Selepas melihat saya semakin ceria dan riang selepas melibatkan diri dalam sukan ini, keluarga mula yakin dengan saya dan memberikan motivasi," katanya.
Sementara itu, jurulatih skuad kebangsaan, Marzuki Zakaria mengakui peluang bagi atlet negara layak ke Rio agak tipis dengan tinggal satu sahaja kejohanan untuk melayakkan diri.
"Kita masih belum ada atlet yang layak ke Rio buat masa ini. Peluang terakhir ialah menerusi Kejohanan Kelayakan Dunia di Republik Czech dari 11 hingga 20 Jun ini.
"Peluang kita memang sukar kerana hanya tiga pemanah terbaik bagi setiap kategori (recurve dan compound) akan layak.
"Kita memang tahu cabaran sangat sengit dan perlu juga bersedia menghadapi keadaan cuaca yang berbeza di sana. Dulu ada dua kategori berasingan untuk kerusi roda dan berdiri, tetapi selepas edisi London, kedua-dua kategori digabungkan.
"Kita tidak meletakkan sasaran yang tinggi kerana fokus utama ialah Sukan Para Asean 2017 di Kuala Lumpur dan Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo. Mereka perlu mencatatkan sekitar 300 mata untuk layak.
"Jadi, saya mahu mereka bukan hanya buat yang terbaik sewaktu latihan tetapi lakukannya semasa kejohanan," katanya.
Skuad negara akan mengharungi dua pertandingan dengan pasukan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi memantapkan serta membiasakan diri dengan situasi kejohanan sebelum berlepas ke Republik Czech.
Pemanah negara yang akan beraksi di Republik Czech ialah Hasihin, Anwari Mahamat, Mohd Jafri Jamaluddin dan G. Daneshan bagi acara recurve serta Yuhaizam Yahaya, Azrul Abdul Rashid, Mohd Zahfirahman Mat Salleh dan Nor Saadah Abd Wahab bagi acara .
#Brazil #Hasihin Sanawi #London #Paralimpik #Rio de Janeiro #W1/W2
;