Harrif Saleh manfaat wang i-Lestari KWSP teroka perniagaan baharu

Bernama
Februari 7, 2021 12:48 MYT
Harrif berkata produknya kini dipasarkan di Kuantan dan Kuala Lumpur dan beliau menyasarkan melantik ejen di seluruh negara dalam tempoh setahun. - Bernama
KUALA TERENGGANU: Pelumba basikal negara, Harrif Saleh memanfaatkan wang pengeluaran akaun i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk meneroka perniagaan baharu, menghasilkan produk mencuci rantai basikal dan motosikal yang semakin mendapat permintaan ramai.
Harrif, 32, yang terkenal dengan gelaran Raja Pecut acara lebuh raya itu berkata inisiatif untuk memperoleh pendapatan tambahan itu tercetus susulan pandemik COVID-19 selepas pendapatannya terjejas serta minat orang ramai terhadap sukan berbasikal.
"Apabila kerajaan benarkan pengeluaran wang KWSP pada Mei tahun lepas, saya kumpul sebab pengeluaran secara berperingkat iaitu bermula RM500 dan cukup sahaja RM2,000 saya mula cari idea, dapatkan nasihat beberapa rakan dan akhirnya lahirlah dua produk saya sendiri untuk mencuci rantai basikal/motosikal serta syampu jenama HS Sprint ini," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
HS Sprint yang dilancarkan bulan lepas, menyasarkan 100 botol jualan pada awalnya, namun jumlahnya terus meningkat mencecah 1,000 botol dalam masa sebulan berikutan permintaan yang tinggi.
Katanya, produk itu yang mampu mencuci kotoran degil seperti minyak dan karat, dijual pada harga RM33 bagi setiap 500ml manakala produk syampu berharga RM15 sebotol (500ml).
"Sejak kecil, basikal adalah 'kawan' rapat saya...bukan sahaja berkayuh tetapi juga memahami masalah tiub, tayar hinggalah rantai basikal.Sebab itu saya pilih bidang ini, rugi jika tidak dimanfaatkan. Sebelum ini saya buka restoran, jual stokin serta jersi, tetapi kali ini mahu lebih serius.
"Saya juga bersyukur kerana keluarga, rakan dan peminat memberi sokongan serta impak promosi dalam talian banyak membantu. Mungkin juga mereka memahami kemahiran saya dalam dunia basikal," katanya yang merupakan kapten baharu pasukan Terengganu Cycling Team (TSG).
Harrif berkata produknya kini dipasarkan di Kuantan dan Kuala Lumpur dan beliau menyasarkan melantik ejen di seluruh negara dalam tempoh setahun.
"Kalau ada masa terluang, saya mahu menyertai mana-mana kursus berkaitan perniagaan supaya apa yang diusahakan ini tidak tersasar. Apa yang penting saya mahu wujudkan pekerjaan untuk anak muda yang lain.
"Bagi saya, sekarang ini adalah masa yang sesuai untuk mulakan bidang lain, apatah lagi keadaan semasa yang tidak banyak memberi peluang kepada atlet menyertai mana-mana kejohanan. Kalau dulu boleh juga dapat duit tambahan hasil kemenangan," katanya.
Ketika ditanya bagaimana beliau membahagikan masa antara perniagaan dan sukan, Harrif berkata bidang lumba basikal tetap menjadi keutamaannya namun beliau bersyukur kerana mendapat bantuan isteri Nursyahira Nordin, mengendalikan perniagaan itu.
Sementara itu, Harrif yang kini berada di Turki bersama tiga lagi pelumba tempatan serta lima pelumba import TSG akan 'berkampung' selama 40 hari di sana bagi bersaing dalam Grand Prix (GP) Alanya, yang berlangsung semalam; GP Gazipasa (7 Feb); GP Velo Manavgat (20 Feb); GP Velo Alanya (21 Feb); GP Mediterranean (6 Mac) dan terakhir GP Gundogmus pada 7 Mac sebelum bertolak ke Malaysia sehari selepas itu.
Sebelum ke Turki pada Selasa lepas, perlumbaan antarabangsa terakhir yang disertainya ialah Le Tour de Langkawi (LTdL) pada tahun 2020.
-- BERNAMA
#harrif saleh #pelumba negara #raja lebuh raya #pandemik #COVID-19 #usahawan #i-lestari #perniagaan #produk cuci rantai basikal
;