Harrif mahu manfaat latihan di Australia
Astro Arena
Januari 2, 2017 14:07 MYT
Januari 2, 2017 14:07 MYT
PELUMBA TSG, Mohamed Harrif Salleh, mahu memanfaatkan sepenuhnya kem latihan di Melbourne, Australia dalam menghadapi dua tugasan utama tahun ini, iaitu saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) dan Sukan SEA Kuala Lumpur.
Susulan kejayaan meraih dua pingat emas dalam Sukan SEA 2015 Singapura, Harrif kekal sebagai sandaran utama bagi mengulangi pencapaian berkenaan.
Skuad lebuhr aya negara ke Sukan SEA sekali lagi menyaksikan dominasi pelumba TSG dan Harrif mengharapkan faktor itu dapat membantunya.
“Pada saya, saya sangat serasi bersama pasukan TSG, kami memiliki kualiti untuk mengulangi kejayaan meraih pingat emas di Sukan SEA nanti,” katanya.
Skuad TSG yang terdiri daripada 12 pelumba berlepas ke Melbourne hari ini untuk menjalani kem latihan selama 45 hari di sana.
Ia sebagai persiapan untuk menghadapi Jelajah Filipina dan juga LTdL 2017 selain menyaksikan jurulatih baharu, Jeremy Hunt, akan memulakan tugasnya.
Jelas Harrif, kem latihan ini amat penting dalam merencana hala tuju skuad TSG sepanjang musim 2017 bagi memastikan reputasi mereka sebagai antara pasukan terbaik benua Asia mampu dikekalkan.
“Persiapan di Melbourne cukup lengkap dengan perlumbaan dan laluan yang berbukit dapat mempertingkatkan kualiti kami.”
LTdL 2017 edisi ke-22 akan berlangsung dari 22 Februari sehingga 1 Mac dengan lapan peringkat dan peserta akan melalui jarak keseluruhan 1,225 km. Peserta terbaik Asia tahun lepas ialah Adiq Husainie Othman dari Terengganu Cycling Team.