Harimau Muda perlu kekalkan momentum, prestasi cemerlang
Bernama
Ogos 19, 2023 04:45 MYT
Ogos 19, 2023 04:45 MYT
JOHOR BAHRU: Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan dituntut supaya terus mengekalkan momentum dan prestasi cemerlang bagi menempah slot ke final Kejohanan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2023 di Rayong, Thailand.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim percaya kejayaan skuad Harimau Muda menewaskan juara Sukan SEA 2023, Indonesia, 2-1 pada aksi pembukaan Jumaat, jelas menunjukkan kemampuan mereka bagi mencapai sasaran mara ke pentas akhir kejohanan berkenaan.
"Kemenangan pada perlawanan pembukaan ini satu berita baik dan saya kira ia amat menggembirakan buat semua yang mengikuti perlawanan itu.
"Kementerian mendoakan agar skuad kita melangkah ke final dan menang, tetapi diharapkan agar prestasi yang ditampilkan ini dikekalkan dan momentum dijaga dengan baik," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Judo Remaja Kebangsaan Kali ke-26 2023, di sini semalam.
Pada Jumaat, skuad Harimau Muda bangkit menewaskan Indonesia 2-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF 2023 di Stadium Rayong Provincial.
Pemain kelab Johor Darul Ta'zim II, Fergus Tierney muncul wira apabila menjaringkan dua gol penting selepas dimasukkan sebagai pemain gantian.
Adam Adli berharap skuad B-23 terus menampilkan prestasi cemerlang sekali gus melakar kemenangan pada perlawanan seterusnya menentang Timor Leste pada aksi terakhir, Selasa ini.
Malaysia kini menerajui Kumpulan B dengan mengumpul tiga mata dalam memburu tempat ke separuh akhir yang hanya akan diisi juara setiap kumpulan bersama naib juara terbaik.
Kejohanan B-23 AFF 2023 dari 17 sehingga 26 Ogos ini menyaksikan saingan Kumpulan A menghimpunkan pasukan tuan rumah, Kemboja, Brunei dan Myanmar sementara Kumpulan C dibarisi juara bertahan Vietnam, Filipina dan Laos.
Pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan itu adalah menduduki tempat keempat pada edisi sulung 2005.
-- BERNAMA