Harimau Muda mengaum di China

Sinar Harian
Disember 23, 2023 18:13 MYT
Harith Haiqal (kiri) meledak gol tunggal ketika membantu skuad negara menumpaskan China 1-0 dalam aksi persahabatan di Shanghai pada Sabtu. - Foto FB FAM
PEMAIN Selangor FC, Harith Haiqal Adam Afkar memacu kemenangan skuad bawah 23 tahun negara (B-23) ketika menewaskan China,1-0 dalam aksi persahabatan di Shanghai sebentar tadi.
Jaringan pada masa kecederaan itu memberi kemenangan pertama buat Juan Torres Garrido sebagai jurulatih Harimau Muda menggantikan E. Elavarasan pada Oktober lalu.
Ketika aksi di Stadium Pusat Sukan Jinshan itu dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, namun sepakan sudut yang diperoleh skuad negara mengubah segala-galanya.
Pemain pertahanan tengah itu yang naik ke atas membantu jentera serangan menjadi duri dalam daging buat pasukan tuan rumah apabila meledak pada minit ke-95.
Babak pertama perlawanan, China mendominasi perlawanan menerusi beberapa percubaan, namun pemain muda negara ampuh bertahan.
Selepas rehat, pasukan tuan rumah hampir di depan, tetapi percubaan mereka pada minit ke-46 dinafikan penjaga gol, Azim Al Amin Kamaruddin.
Berselang enam minit, Harith Haiqal melepaskan rembatan jarak jauh ke arah gawang tuan rumah tetapi berjaya ditangkap penjaga gol, Huang Zihao.
Kemenangan itu sudah pasti melegakan Garrido, namun pada Selasa mereka sekali lagi akan diuji pasukan tuan rumah yang mahu menebus kecewa tewas pada aksi pertama ini. - Sinar Harian
#harimau muda #perlawanan persahabatan #China #Harith Haiqal
;