Harimau Muda kurang 'kerja rumah' hadapi Piala Asia B-23 2024 - Penganalisis
Bernama
April 24, 2024 04:15 MYT
April 24, 2024 04:15 MYT
KUALA LUMPUR: Tamatnya perjalanan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan pada pentas Piala Asia B-23 2024 di Doha, Qatar yang berakhir awal pagi semalam dengan keputusan tewas di semua perlawanan membuktikan kurangnya 'kerja rumah' dilakukan.
Ia berikutan tumbangnya mereka pada saingan tersebut menambah duka buat pencinta sukan bola sepak tanah air yang timbul dengan persoalan sejauh mana skuad Harimau Muda sedia bertanding pada kejohanan seterusnya yang menuntut persediaan rapi selepas ini.
Menerusi pemerhatian di laman media sosial, timbul cakap-cakap netizen yang lebih terarah kepada perjalanan kesemua pemain negara kendalian Juan Torres Garrido ke Qatar sekadar 'makan angin'.
Skuad negara menamatkan kempen di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata susulan tewas 0-2 masing-masing di tangan Uzbekistan (17 April) dan Vietnam (20 April) dalam dua aksi pertama sebelum menutup saingan tewas kepada Kuwait 1-2.
Perkara itu dalam masa sama mendapat perhatian bekas pemain bola sepak kebangsaan Azlan Johar yang terkilan dengan keputusan sudah dijangka akan dilakar skuad bola sepak muda negara.
Menurut beliau persediaan 'cukup-cukup makan' skuad negara itu setimpal dengan keputusan hambar dilakar skuad negara berdasarkan persembahan ditunjukkan pada kesemua tiga perlawanan peringkat kumpulan itu.
"Para pemain ini tidak diberi pendedahan yang cukup di peringkat antarabangsa, perlu ada banyak lagi perlawanan persahabatan, minit perlawanan serta pengalaman. Sangat jelas para pemain tidak bersemangat dalam perlawanan tersebut bahkan kecewa dengan kekalahan mereka.
"Saya hairan adakah Jawatankuasa Teknikal membuat persiapan dengan teliti atau menganggap skuad B-23 tidak penting seperti skuad senior? Pemilihan pemain juga perlu diperluas dan tidak tertumpu pada satu-satu akademi sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.
Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli pula sependapat kurangnya tumpuan diberikan bagi mengharungi saingan kejohanan tersebut dengan persediaan sekadar berada di tahap biasa.
"Adakah pasukan menganggap mereka lakukan persiapan sama dengan pasukan yang layak secara merit menjuarai peringkat kumpulan semasa aksi kelayakan sebelum ini?
"Ia ibarat menghadapi peperiksaan percubaan dengan keputusan lulus paras hidung tetapi tiada usaha berganda disertakan berdepan final. Sekadar tukar 'cikgu' (ketua jurulatih) sahaja tidak mencukupi," katanya.
Bagi beliau skuad negara seharusnya mengguna tempoh masa sebaiknya selepas layak ke saingan Piala Asia B-23 2024 dengan tumpuan membariskan pemain-pemain berkualiti.
"Kita ada ramai pemain yang bagus dalam liga sebenarnya tapi kenapa tidak paksa mereka bermain menyumbang untuk negara. Tidak boleh lagi amalkan ambil sahaja pemain dalam Akademi Mokhtar Dahari (AMD) untuk wakili negara.
"Perlu ada pasukan yang mempunyai hala tuju jelas, petunjuk prestasi utama (KPI) yang tetap serta tempoh waktu praktikal dan relevan daripada segi pembangunan pemain..Tak boleh tahun hadapan ada kejohanan baru nak mula kumpul pemain dalam tempoh singkat," katanya.
Pada perlawanan pelengkap jadual menentang Kuwait awal pagi ini, Harimau Muda akhirnya berjaya memecah kebuntuan gol sepanjang tiga perlawanan hasil jaringan Haqimi Azim Rosli.
Malaysia yang pernah mara sehingga ke peringkat suku akhir pada edisi 2018 menyasarkan untuk menyamai pencapaian itu pada kempen kali ini namun tidak kesampaian.
Hanya dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke suku akhir dan berpeluang meneruskan cabaran merebut tiga slot automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 manakala pasukan keempat terbaik kejohanan akan bermain perlawanan play-off bertemu Guinea di Paris, Mei ini.
-- BERNAMA