Harimau Muda dibelasah Vietnam, kempunan ke final
Bernama
Ogos 24, 2023 20:36 MYT
Ogos 24, 2023 20:36 MYT
KUALA LUMPUR: Hasrat skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan untuk layak ke final Kejohanan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) berkecai selepas dibelasah juara bertahan, Vietnam, 1-4, di Stadium Rayong Provincial, Thailand, hari ini.
Walaupun aksi berlangsung seimbang di awal permainan namun Vietnam berjaya membuka tirai jaringan apabila pemain tengah Dinh Xuan Tien, yang tidak dikawal rapi benteng pertahanan negara, mudah menolak masuk hantaran dari sebelah kanan oleh Nguyen Minh Quang pada minit kelapan.
Gawang negara sekali lagi bocor apabila tonggak tengah Nguyen Quoc Viet bijak mencari ruang yang gagal ditutup dengan kemas benteng pertahanan negara sebelum melepaskan rembatan dari luar kotak penalti untuk menggandakan jaringan Vietnam pada minit ke-32.
Xuan Tien terus menjadi duri dalam daging buat Harimau Muda dengan menyudahkan hantaran dari sebelah kiri oleh Khuat Van Khang untuk gol ketiga Vietnam, seminit sebelum separuh masa pertama tamat.
Gusar dengan situasi merbahaya dialami skuad negara, Ketua Jurulatih E. Elavarasan membuat tiga pertukaran termasuk membawa masuk penyerang Fergus Tierney menggantikan Harith Akif Mohd Shahar dalam usaha mereka bangkit semula pada separuh masa kedua.
Percaturan Elavarasan meningkatkan tempo permainan mencetuskan impak positif apabila penyerang Alif Ikmalrizal Anuar menanduk masuk hantaran lencong dari sebelah kanan oleh Muhammad Aliff Izwan Yuslan untuk gol sulung Harimau Muda pada minit ke-49.
Skuad negara kemudian terus berusaha menyalakan api perjuangan mereka namun asakan dilakukan gagal menembusi kubu pertahanan Vietnam yang mudah mematahkan serangan mereka.
Kelekaan skuad negara di penghujung permainan membawa padah apabila pemain pertahanan Nguyen Hong Phuc yang menyambar hantaran penyerang gantian Bui Vi Hao menoktahkan kemenangan Vietnam menerusi gol keempat pada minit ke-85.
Menanti Vietnam pada perhitungan final Sabtu ini adalah pemenang aksi separuh kedua antara tuan rumah dan Indonesia malam ini.
Harimau Muda pula akan bermain dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, juga pada Sabtu.
Terdahulu, Harimau Muda layak ke separuh akhir selepas menjuarai Kumpulan B manakala Vietnam pula mengungguli Kumpulan C.
Skuad negara memulakan kempen kumpulan dengan menumpaskan Indonesia, 2-1, Jumaat lepas diikuti kemenangan kedua ke atas Timor Leste, 3-1, Selasa lepas.
Malaysia belum pernah layak ke final Kejuaraan B-23 AFF dengan pencapaian terbaik mereka adalah menduduki tempat keempat pada edisi sulung 2005 di Thailand.
Bercakap pada sidang akhbar pasca perlawanan, Elavarasan mengakui benteng pertahanan Harimau Muda banyak melakukan kesilapan yang membuka ruang kepada Vietnam untuk menjaringkan tiga gol pada separuh masa pertama.
Jurulatih berusia 61 tahun itu menafikan faktor keletihan selepas beraksi dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Selasa lepas menyebabkan mereka mengalami kekalahan besar dengan Vietnam.
"Saya tidak boleh katakan ia merupakan faktornya kerana Vietnam (menang 1-0 dengan Filipina) juga beraksi pada hari yang sama dengan kami," katanya.
Bagaimanapun, bekas Jurulatih Sarawak United itu gembira melihat anak-anak buahnya menimba pengalaman bermain dalam pertandingan peringkat tinggi di Thailand yang merupakan kekurangan kebanyakan mereka sebelum ini.
-- BERNAMA