Harimau Malaysia: TMJ sanggah sikap lepas tangan Khairy
Astro Arena
April 11, 2016 18:14 MYT
April 11, 2016 18:14 MYT
Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, tidak bersetuju dengan kritikan yang dibuat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, bahawa barisan pemain skuad kebangsaan tidak mampu mempamerkan aksi berkualiti tinggi.
Menurut baginda, kejatuhan Malaysia ke ranking ke-174 dunia merupakan tanggungjawab Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta kesemua persatuan negeri bawah naungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang sepatutnya mendidik pemain dan melaksanakan budaya profesionalisme.
"Saya tidak bersetuju dengan kenyataan Menteri Belia dan Sukan yang mengatakan bahawa pemain bola sepak tempatan kita kurang berkualiti. Saya mohon difikirkan semula. Anda sebagai Menteri Sukan perlu bertanggungjawab untuk memperbaiki masalah ini.
"Antara perkara yang tidak berkualiti adalah beberapa menteri kita dan persatuan-persatuan yang hanya tahu menuding jari dan menyalahkan orang lain tanpa pernah mengambil sikap bertanggungjawab atas kesalahan tersebut. Individu yang hanya memikirkan diri mereka sama seperti persatuan-persatuan yang tidak bertanggungjawab," kata Tunku Ismail menerusi laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers.
Dalam pada itu, Tunku Mahkota Johor mencadangkan kepada Khairy supaya mengadakan satu mesyuarat antara semua pihak untuk membincangkan masa depan bola sepak negara.
TMJ juga mengharapkan tiga perkara akan dilaksanakan dalam masa terdekat, antaranya memberikan lebih hak penyiaran kepada semua pasukan, konsisten dalam membuat segala keputusan dan hilangkan sifat terlalu sombong untuk menggunakan kepakaran asing.
"Kita semua bertanggungjawab atas kegagalan bola sepak negara kita. Sekarang kita mempunyai pilihan -- untuk membaikinya atau membiarkannya.
"Saya sudah memberitahu anda, sebagai menteri, anda perlu mengadakan mesyuarat dan memastikan FAM dan kelab-kelab yang mengambil bahagian agar memainkan peranan yang lebih besar dalam meningkatkan lagi sukan bola sepak. Berikan kepada penyokong apa yang mereka mahu," titah baginda.