Harimau Malaysia seri tanpa jaringan dengan Myanmar

Astro Arena
Mei 28, 2016 22:23 MYT
Skuad kebangsaan hanya mampu seri tanpa jaringan dengan pasukan pemain bawah 23 tahun Myanmar.
Skuad bola sepak kebangsaan sekadar mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan berdepan Myanmar yang rata-rata dibarisi pemain muda dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Thuwanna, Myanmar.
Turun dengan misi memperbaiki kedudukan ranking bola sepak tanah air, Myanmar sebaliknya menampilkan aksi lebih bertenaga.
Tanpa kelibat Safiq Rahim di bahagian tengah, jelas terdapat kelonggaran terutama dalam aspek hantaran oleh anak buah Datuk Ong Kim Swee.
Gawang penjaga gol negara, Izham Tarmizi sering diuji jentera serangan Myanmar yang diketuai Kyow Ko Ko.
Peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-32 menerusi Amirulhadi Zainal, namun percubaan pemain Johor Darul Ta'zim itu gagal menembusi gawang Pyae Phyo Aung.
Bersambung di babak kedua, Malaysia memperkemaskan permainan dan mula menghadirkan beberapa peluang namun gagal menghasilkan gol.
Skuad negara bernasib baik apabila jaringan Myanmar dibabak kedua tidak dikira apabila penjaga garisan mengangkat bendera ofsaid walaupun ulang tayang jelas menunjukkan sebaliknya.
Pada minit ke-62, S. Chanturu mendapat peluang untuk melakar jaringan namun rembatannya jelas tersasar.
Keputusan seri 0-0 kekal hingga tamat jaringan.
#bola sepak #Harimau Malaysia #perlawanan persahabatan #skuad kebangsaan #skuad negara #stadium Thuwunna #Yangon
;