Harimau Malaysia kecewakan Papua New Guinea
Astro Arena
November 14, 2016 18:30 MYT
November 14, 2016 18:30 MYT
HARIMAU Malaysia mendapat suntikan semangat untuk memulakan kempen Piala AFF Suzuki Ahad ini, selepas menang 2-1 ke atas skuad yang memiliki ketahanan fizikal lebih baik, Papua New Guinea, dalam perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, hari ini.
Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu bermula agresif di awal perlawanan walaupun beberapa gerakan dilakukan tidak mendatangkan bahaya kepada gawang Papua New Guinea.
Ahmad Hazwan Bakri, bagaimanapun, membuat keputusan bijak dengan melakukan rembatan rendah ke arah kanan ketika mengambil sepakan percuma untuk memaksa Ronald Warisan melayangkan badan menyelamatkan bola.
Tidak disangka-sangka, serangan pertama Papua New Guinea pada minit keenam membuahkan gol pembukaan menerusi tendangan Nigel Dabingyaba dari luar kotak penalti selepas memanfaatkan kegopohan pertahanan, Mohd Shahrul Mohd Saad, yang gagal mengeluarkan bola jauh dari zon bahaya.
Tujuh minit kemudian, gawang Malaysia sekali lagi cemas apabila bola dihantar ke depan membuatkan Khairul Azhan Khalid keluar dari kawasannya, mujur Raymond Gunemba yang lebih pantas mengejar, tergelincir sebelum bola mudah dikeluarkan Azhan.
Selepas itu, Mohd Irfan Fazail, yang dikerumuni pertahanan lawan, membuat lambungan untuk Hazwan Bakri melakukan rembatan voley kencang ke tengah gawang lawan bagi mengikat kedudukan 1-1.
Harimau Malaysia terus garang dengan Darren Lok -- baru sahaja tiba di Malaysia Mei lalu dan membuat penampilan kedua bersama skuad negara -- melakukan larian dari sebelah kiri, melepasi beberapa pertahanan lawan dan kemudian menghantar ke tengah untuk Hazwan Bakri, yang sedang berlari.
Hazwan, yang tidak dikawal pada ketika itu gagal menemui sentuhan tepat dengan penjaga gol lawan hanya memerhati bola jauh melewati palang.
Minit pertama separuh masa kedua, Malaysia dihadiahkan sepakan penalti selepas Lok dijatuhkan dan Mohd Amri Yahyah melakukan rembatan ke kiri Warisan untuk mendahului 2-1.
Selepas itu, Kim Swee melakukan tiga pertukaran dengan memasukkan Safee Sali, Safawi Rashid dan S. Veenod, masing-masing bagi menggantikan Lok, Amri dan Irfan.
Tidak lama kemudian, penjaring gol pertama negara, Hazwan, dikeluarkan untuk digantikan dengan Norshahrul Idlan Talaha, dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak diganti Muhammad Hadin Azman.
Kemudian, Papua New Guinea mendapat sepakan percuma selepas Rizal Ghazali -- pemain terbaik final Piala Malaysia 2016 -- menyiku penyerang lawan, malangnya sepakan tersebut terkena benteng untuk menerima sepakan penjuru.
Tidak banyak gerakan menarik dapat dilakukan di hujung permainan, lebih-lebih lagi selepas hujan lebat yang turun ketika perlawanaan berbaki 10 minit dan keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat.
Ia adalah aksi pemanas badan terakhir sebelum Malaysia membuka tirai saingan Piala AFF Suzuki dengan menentang Kemboja, Ahad ini.
Dalam pertemuan kedua-dua pasukan di Stadium Sir John Guise, Port Moresby, Jun lalu, Papua New Guinea menang 2-0.