Harimau Malaya tidak layak mara jika tidak mampu kalahkan Taiwan - Pan Gon

Bernama
November 17, 2023 11:50 MYT
Pan Gon berkata, skuad negara perlu bertarung untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan kedua Kumpulan D kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya tidak layak mara lebih jauh dalam kelayakan Piala Dunia 2026 jika tidak mampu mengatasi Taiwan apabila berkunjung ke Taipei pada Selasa depan, kata pengendali skuad kebangsaan Kim Pan Gon.
Jurulatih dari Korea Selatan itu berkata skuad negara perlu bertarung untuk mengutip tiga mata dalam perlawanan kedua Kumpulan D kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 walaupun menyedari perlawanan di tempat lawan pastinya lebih sukar kerana suasana dan tekanan dihadapi.
Bagaimanapun, beliau berkata kemenangan 4-3 mengatasi Kyrgyzstan iaitu pasukan di ranking lebih tinggi pada aksi pembukaan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi, menjadi motivasi buat pasukan bimbingannya itu.
"Kita telah mempelajari sesuatu...kita tahu apa kita perlu lakukan. Jika kita tidak buat yang terbaik, kita tidak layak untuk ke peringkat seterusnya tapi kita ada impian untuk itu, menjadi 18 terbaik. Kita mahu mara ke pusingan ketiga Piala Dunia.
"Perlawanan berikutnya (berdepan Taiwan) di tempat lawan sudah pastinya lebih sukar. Harapnya kita dapat membuat persiapan terbaik. Jika kita tidak memperoleh tiga mata, kita tidak layak ke pusingan ketiga, jadi kita kena berjuang untuk itu," katanya pada sidang media pascaperlawanan Malaysia-Kyrgyzstan malam tadi.
Pada perlawanan malam tadi, Malaysia yang dahulu membuka jaringan ketinggalan 1-3 sebelum bangkit bergaya dengan Mohamad Faisal Abdul Halim menjaringkan gol kemenangan, dua gol diperoleh menerusi tandukan Dion Cools dengan Arif Aiman Mohd Hanafi menjadi watak utama keberhasilan empat gol termasuk gol sendiri Kyrgyzstan.
Malaysia menghuni ranking ke-137 dunia manakala Kyrgyzstan pula 97 dan Taiwan 152.
Ditanya perasaan ketika Malaysia ketinggalan 1-3, jurulatih berusia 54 tahun itu berkata ia bagaikan serangan jantung apabila melihat pasukan bimbingannya ketinggalan selepas mendominasi dan mendahului perlawanan.
Pan Gon juga sedikit kecewa dengan kehadiran penonton kerana kira-kira 17,000 penyokong menyaksikan perlawanan malam tadi.
"Saya hargai mereka yang datang (ke stadium) tapi kita mempunyai kapasiti 80,000," katanya.
Selepas aksi menentang Taiwan di gelanggang lawan minggu depan, Malaysia dijadual berdepan pasukan di ranking ke-72, Oman di tempat lawan pada 21 Mac tahun depan dan melayan kunjungan pasukan itu pada 26 Mac di tanah air, diikuti Kyrgyzstan (6 Jun) di tempat lawan dan kembali menanti kedatangan Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.
-- BERNAMA
#harimau Malaya #Kim Pan Gon #Taiwan #kelayakan piala Asia
;