Harimau Malaya tidak gentar hadapi Qatar
Bernama
Januari 29, 2013 22:55 MYT
Januari 29, 2013 22:55 MYT
Penyerang kebangsaan, Norfarhan Muhammad berkata skuad Harimau Malaya tidak gentar menghadapi lawan pertama pada kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar di Doha, pada 6 Feb.
"Sungguhpun pasukan dihambat dengan isu kecederaan besar-besaran, namun itu tidak menjadi masalah untuk membentuk kombinasi mantap menjelang perlawanan itu nanti," kata Norfarhan yang merupakan tonggak baharu yang bakal ditampilkan ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal pada saingan tersebut.
Pemain tengah Kelantan itu yang kali terakhir menyarung jersi kebangsaan pada Piala AFF Suzuki 2008, mengakui barisan pemain baharu termasuk dirinya tidak menghadapi kesukaran untuk mencipta keserasian pada aksi perlawanan itu kelak.
"Walaupun belum cergas sepenuhnya, saya akan membalas kepercayaan jurulatih jika terpilih untuk beraksi (menentang Qatar)," katanya kepada Bernama sebelum berlepas ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini Selasa.
Skuad Harimau Malaya akan mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Iraq di Dubai pada Khamis ini, sebelum berlepas ke Doha untuk aksi kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar.