Harimau Malaya tewaskan Perak FC 1-0 dalam aksi pemanas badan

Bernama
Mei 31, 2024 05:20 MYT
Jaringan tunggal Harimau Malaya dihasilkan Daniel Ting pada minit ke-17 dalam perlawanan persahabatan antara skuad negara dan Perak FC di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. - Facebook FAM
KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya mencatatkan kemenangan tipis 1-0 mengatasi Perak FC pada aksi persahabatan tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Jaringan tunggal pasukan kendalian jurulatih Korea Selatan Kim Pan Gon itu dihasilkan Daniel Ting pada minit ke-17.
Aksi pemanas badan itu merupakan persediaan skuad Harimau Malaya menjelang dua perlawanan penting Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, bulan depan.
Malaysia akan bertemu Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov di Bishkek pada 6 Jun sebelum menutup kempen saingan Kumpulan D bertemu Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 11 Jun.
Selepas empat perlawanan, Malaysia berada di posisi ketiga kumpulan dengan enam mata sementara Kyrgyzstan sebagai pendahulu, berkongsi sembilan mata dengan Oman di tempat kedua manakala Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.
-- BERNAMA
#harimau Malaya #Perak FC #kelayakan Piala Dunia #Piala Asia
;