Harimau Malaya tewas 0-1 kepada Vietnam
Bernama
Oktober 10, 2019 05:27 MYT
Oktober 10, 2019 05:27 MYT
Impian Malaysia membawa pulang tiga mata penuh dari Hanoi lebur apabila tewas tipis 0-1 kepada Vietnam dalam saingan ketiga kumpulan G pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional My Dinh, di sini, malam ini.
Penyerang Nguyen Quang Hai muncul wira skuad Naga Emas apabila bijak menyudahkan hantaran jauh Que Ngoc Hai untuk menewaskan penjaga gol Harimau Malaya, Mohd Farizal Marlias, pada minit ke-40.
Pada awal perlawanan, skuad Harimau Malaya hampir berada di depan pada minit ke-10 apabila tandukan Muhammad Syafiq Ahmad hasil daripada tendangan sudut gagal dimanfaatkan dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol lawan.
Skuad Naga Emas bimbingan jurulatih dari Korea Selatan, Park Hang Seo hampir menambah derita Harimau Malaya apabila rembatan pemain gantian Nguyen Anh Duc pada minit ke-71 berjaya disekat pemain pertahanan negara, Shahrul Mohd Saad selepas Mohd Farizal terkeluar daripada kedudukan.
Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia menghuni tangga keempat dalam kumpulan dengan tiga mata selepas tiga perlawanan manakala Vietnam melonjak ke tangga kedua dengan berkongsi empat mata dengan pendahulu kumpulan, Thailand.
Malaysia akan berdepan dengan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 14 Nov ini diikuti Indonesia di venue sama pada 19 Nov ini.
Sementara itu, Hang Seo bangga dengan prestasi anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan.
"Pihak lawan amat memahami gerakan kami tetapi pemain mematuhi arahan taktikal dengan baik sekali walaupun hanya menang dengan satu gol," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.
Dalam pada itu, jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe enggan bercakap dengan wartawan dan penolongnya, S. Balachandran memuji anak buahnya kerana memberi saingan sengit.
"Kami menentang dengan pasukan yang kuat dan kami bermain dengan baik sekali. Kami mempunyai peluang pada separuh masa pertama tetapi gagal mengambil kesempatan.
"Bagaimanapun, peluang ke pusingan seterusnya masih terbuka," katanya.
-- BERNAMA
#Hanoi
#Kumpulan G
#Malaysia
#Nguyen Anh Duc
#Park Hang Seo
#penjaga gol
#Piala Asia
#Piala Dunia
#S Balachandran
#saingan ketiga
#Tan Cheng Hoe
#Vietnam