Harimau Malaya terus daki ke posisi terbaik dalam tempoh 17 tahun
Bernama
Julai 20, 2023 23:53 MYT
Julai 20, 2023 23:53 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia kini menghuni tangga ke-136 ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), naik satu anak tangga seperti yang disiarkan dalam kemas kini di laman web badan induk bola sepak antarabangsa itu hari ini.
Ia menyaksikan skuad Harimau Malaya terus mendaki ke kedudukan terbaik dalam tempoh 17 tahun sejak menghuni posisi ke-127 pada Mei 2006.
Berdasarkan laman web www.fifa.com pasukan negara telah mengumpul keseluruhan 1,091.57 mata.
Kemas kini ranking itu turut menyaksikan Malaysia kekal menghuni tempat ke-24 terbaik Asia dan keempat Asia Tenggara di belakang Vietnam (95), Thailand (113) dan Filipina yang menduduki tangga ke-135.
Negara jiran, Indonesia pula berada di posisi ke-150 sementara Singapura di tempat ke-158.
Juara Piala Dunia 2022, Argentina kekal sebagai pendahulu ranking dunia diikuti Perancis di tempat kedua, Brazil (ketiga), England (keempat) dan Belgium melengkapkan pasukan lima teratas.
Bagi zon Asia, lima pasukan terbaik adalah Jepun yang berada di posisi ke-20, Iran (22), Australia (27), Korea Selatan (28) dan Arab Saudi ke-54.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempunyai misi untuk memastikan skuad Harimau Malaya menembusi kelompok 130 terbaik dunia, mejelang akhir tahun ini.
-- BERNAMA