Harimau Malaya tepati ramalan kecewakan Laos 3-1

Bernama
November 14, 2024 23:35 MYT
Malaysia terus melakukan asakan lebih berkesan bagi menjarakkan kedudukan namun tidak berhasil meskipun pengadil memberi tiga minit masa tambahan untuk separuh masa pertama. - Gambar FB Football Association of Malaysia
KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak kebangsaan menepati ramalan apabila mengecewakan Laos 3-1 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Port Authority of Thailand (PAT) di Bangkok, Thailand hari ini.
Babak pertama yang menyaksikan hujan lebat dan padang berlecak tidak menggangu momentum skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti Vicente membuka tirai jaringan seawal minit keenam dengan tandukan kemas Harith Haiqal Adam Afkar selepas menerima sepakan penjuru Paulo Josue.
Malaysia hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-32 apabila Muhammad Safawi Rasid meledak jaringan namun sepakan terlalu kuat menjadikan bola sekadar melintasi palang gawang anak buah jurulatih Laos dari Korea Selatan, Ha Hyeok-jun.
Seminit kemudian kelonggaran barisan pertahanan Harimau Malaya dihukum dengan jaringan pertama Laos apabila Kydavone Souvanny tenang meleret bola ke dalam gol sekali gus menyamakan kedudukan 1-1.
Malaysia kemudian terus melakukan asakan lebih berkesan bagi menjarakkan kedudukan namun tidak berhasil meskipun pengadil memberi tiga minit masa tambahan untuk separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua, percaturan Vicente untuk membuat pertukaran beberapa pemain membuahkan hasil apabila Stuart Wilkin mengambil sepakan penalti untuk jaringan kedua sekali gus meletakkan Malaysia kembali di hadapan 2-1 pada minit ke-64.
Sepakan itu diberi pengadil selepas Sengdaovy Hanthavong menjatuhkan Stuart dalam petak penalti.
Malaysia terus menambah luka skuad Laos yang diberi julukan Million Elephants apabila Sergio Aguero menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan penalti pada minit ke-83 dan keputusan kekal 3-1 hingga tamat perlawanan.
Keputusan itu merupakan kemenangan kelapan skuad negara ke atas Laos dalam lapan pertemuan terakhir termasuk kemenangan besar 5-0 pada Piala AFF 2022 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ia sekali gus menjadi tonik terbaik sebelum menentang India di Hyderabad pada 18 November ini.
-- BERNAMA
#harimau Malaya #hujan lebat #Piala AFF #perlawanan persahabatan
;