Harimau Malaya setaraf pasukan 100 terbaik dunia - Pan Gon
Bernama
September 6, 2023 23:03 MYT
September 6, 2023 23:03 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Bola Sepak Malaysia Kim Pan Gon menganggap Malaysia kini setaraf dengan pasukan 100 terbaik dunia, selepas skuad Harimau Malaya seri 2-2 dengan Syria, pada perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Chengdu, China hari ini.
Pan Gon berkata berdasarkan prestasi pada perlawanan persabatan hari ini, anak buahnya mampu untuk bersaing dengan Syria, walaupun pasukan dikenali sebagai Qasioun Eagles itu berada pada ranking ke-94 dunia, berbanding Harimau Malaya yang kini pada kedudukan ke-136 dunia.
"Secara amnya pada separuh masa pertama, prestasi kita agak bagus, kita setara untuk melawan dengan pasukan ke-94 dunia.
"Saya rasa ada dua kesilapan yang menghukum kami, namun pada separuh masa kedua kita tunjukkan ketahanan dan sikap Harimau Malaya, yang mampu mengejar semula permainan dan memberikan tentangan sehingga ke akhirnya," katanya selepas perlawanan yang berlangsung di Stadium East-Town Football Park di Chendu, hari ini.
Pada perlawanan itu, dua gol jaringan dua pemain simpanan Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Darren Lok masing-masing dalam separuh masa kedua, menafikan harapan Syria untuk menang, selepas mendahului 2-0 pada separuh masa pertama, menerusi jaringan Mardek Mrdkian dan Yasin Alsamya.
Sementara itu Pan Gon menyatakan bahawa mengejar semula selepas ketinggalan dua gol, merupakan suatu yang amat penting kerana ia boleh meningkatkan keyakinan pemain untuk berhadapan tekanan ketika ketinggalan.
Jurulatih dari Korea Selatan berusia 54 tahun itu berkata beliau akan meneruskan ujian taktikal ketika bertemu China, dalam satu lagi perlawanan antarabangsa Tier 1 Sabtu ini, bagi melihat keupayaan skuad kebangsaan apabila berhadapan dengan lawan yang kuat.
"Sekarang kita nak uji beberapa cara taktikal dan juga merasai kekuatan pasukan yang berkedudukan ke-80 dunia. Kami mahu tahu kedudukan kami, jadi kami akan berterusan menyerang mereka, saya rasa kita perlu bermain agresif dan memberikan cabaran. Kami perlu lakukan yang terbaik untuk menyerang dan cuba untuk menang," katanya.
Sementara itu, Darren mengakui bahawa mereka sedikit kecewa, kerana tidak dapat memenangi perlawanan hari ini, namun gembira dengan keputusan seri itu.
Muhammad Akhyar pula berharap yang pasukan dapat meneruskan momentum pada separuh masa kedua menentang Syria, ketika berhadapan dengan China, Sabtu ini.
-- BERNAMA