Harimau Malaya perlukan 12 hari sebelum jumpa UAE
Bernama
April 4, 2021 21:43 MYT
April 4, 2021 21:43 MYT
KUALA LUMPUR: Menyedari skuad kebangsaan jauh ketinggalan dari sudut persiapan berbanding tiga lawannya, ketua jurulatih Tan Cheng Hoe berharap dapat menyediakan pasukan lebih awal, menjelang baki saingan kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, Jun ini.
Cheng Hoe mahukan tempoh antara 10 hingga 12 hari pada Mei, sebelum berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun, Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) yang telah melakukan persiapan lebih awal, termasuk menguji pasukan melalui beberapa siri aksi persahabatan sejak tahun lepas.
Jelasnya, persediaan rapi sebelum bersaing dengan ketiga-tiga pasukan dalam aksi Kumpulan G itu, merupakan faktor utama yang mampu membawa kepada kejayaan skuad Harimau Malaya dalam misi layak secara automatik, ke pusingan akhir Piala Asia 2023.
"Mana-mana pasukan kalau dapat lagi lama (persiapan) lagi bagus, tetapi jika dapat dalam 10 atau 12 hari memang sesuatu yang terbaik, sebab kita juga perlu menyusun aksi pemanas badan yang merupakan elemen terpenting kepada pasukan.
"Berbanding main di laman sendiri, aksi kali ini agak berlainan sebab kita bermain di UAE. Kita perlu berada di sana atau negara yang iklimnya lebih kurang dengan UAE, kerana kita memang perlukan masa untuk tujuan adapatasi dengan cuaca di sana," katanya kepada Bernama, hari ini.
Bulan Jun dianggap sebagai musim panas di UAE, terutama di ibu kotanya Abu Dhabi dengan purata suhu di waktu siang mampu mencapai 40 darjah celsius, dan purata 25 darjah celsius pada sebelah malam.
Sebagai jurulatih berpengalaman, Cheng Hoe bagaimanapun tidak melihat ia sebagai halangan untuk mencipta kejayaan di UAE, sekiranya barisan pemain mampu bersedia dari segi mental dan fizikal menerusi tempoh masa persiapan yang ideal.
Kini, apa yang menjadi kegusaran beliau adalah aksi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadual berlangsung sehingga minggu terakhir Mei, sekali gus menjadi halangan bagi mengumpulkan barisan pemain lebih awal.
Namun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengemukakan cadangan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menangguhkan aksi Liga-M, melibatkan perlawanan selepas Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada 13 dan 14 Mei.
"Memang bagus jika ia (cadangan FAM) diterima, sebab semua maklum skuad kebangsaan sudah lebih setahun tidak dikumpulkan untuk menjalani kem latihan, dan kem latihan pusat di Johor Bahru (22-28 Mac) juga agak singkat, tetapi saya gembira dengan bagaimana ia dilaksanakan," kata Cheng Hoe.
Selepas lima perlawanan, Malaysia dipisahkan dua mata di belakang Vietnam selaku pendahulu kumpulan dengan mengumpul 11 mata, sementara Thailand di kedudukan ketiga (lapan mata) dan UAE di kedudukan keempat mengumpul enam mata, dengan kurang satu perlawanan.
Layak ke Piala Asia 2023 adalah misi skuad kebangsaan dalam Peta Hala Tuju FAM (F:30), dan selepas menewaskan Thailand serta Indonesia dalam aksi kumpulan sebelum ini, Malaysia berada di landasan terbaik untuk layak secara merit, selepas kali terakhir pada edisi Piala Asia 1980 di Kuwait.
-- BERNAMA