Harimau Malaya perlu waspada dengan jentera serangan Myanmar
Bernama
November 22, 2018 10:24 MYT
November 22, 2018 10:24 MYT
Skuad Harimau Malaya perlu berwaspada dengan kekuatan pasukan Myanmar yang mempunyai kelebihan dalam aspek serangan pada aksi terakhir Kumpulan A, Kejohanan AFF Suzuki 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Justeru, ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Tan Cheng Hoe berkata bahagian serangan pasukan negara harus 'ditajamkan' lagi selain memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan tersebut.
"Kita tahu serangan balas dari Myanmar cukup bahaya dan berkesan terutamanya dari pemain nombor 10, 11 dan 16, ada juga pemain yang semangat juang tinggi, komited dan keinginan yang tinggi untuk bertahan dan serang.
"Kita kena pastikan kita tidak buat kesilapan yang mudah boleh akibatkan gol.... apa pun kita tidak akan ubah corak perlawanan pada kali ini sebab kita sudah berjaya dalam perlawanan sebelum ini kecuali menentang Vietnam," katanya kepada pemberita pada sesi latihan di sini, pada Rabu.
Cheng Hoe berkata keputusan seri 0-0 antara Myanmar dan Vietnam dalam aksi Kumpulan A di Yangon, semalam sedikit sebanyak memberi kelegaan kepadanya.
"Memang lega sedikit, tetapi macam mana pun kita tetap kena menang dan jika tidak kita tidak dapat masuk separuh akhiri... kita kena cari tiga mata untuk kita selesa layak ke separuh akhir," katanya.
Beliau berkata pemain ketika ini dilihat cukup bermotivasi dan peluang bermain di laman sendiri perlu digunakan sebaik mungkin.
"Saya yakin momentum semangat pemain akan kekal dan terus bertambah apatah lagi kalau stadium dipenuhi penyokong.
"Saya harap pemain tidak tertekan kerana kita tahu bukan mudah untuk misi hidup mati ini tetapi saya yakin penuh dengan prestasi pemain," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata adalah tidak mustahil penjualan tiket mencecah 50,000 menjelang Sabtu ini memandangkan penjualannya setakat hari ini sudah mencecah 35,000.
"Walau kita kalah dengan Vietnam tetapi moral pasukan tinggi untuk kalahkan Myanmar, salah satu suntikan semangat yang kuat saya maklumkan pada mereka tentang hasil penjualan tiket.
"Saya yakin penyokong sama ada dari Ultras Malaya dan penyokong lain dapat bantu pemain memenangi perlawnaan," katanya.
-- BERNAMA