Harimau Malaya mungkin kalah sebab ...

Israr Khalid
Disember 14, 2018 12:39 MYT
Kediaman Hang-seo dilaporkan terletak berhadapan dengan padang latihan untuk pasukan pelawat. - Sumber foto Twitter @FarishSyahmiAR
HATI-hati Tan Cheng Hoe, jaga-jaga Harimau Malaya.
Taktikal kita mungkin akan diketahui, jika tidak seluruhnya sekurang-kurangnya sebahagian daripada perancangan hebat yang sudah diatur, kerana ada mata yang memerhati rapi.
Mata tersebut bukan perisik yang dihantar atau dron yang diterbangkan secara senyap-senyap, tetapi jurulatih pasukan Vietnam sendiri, Park Hang-seo.
Ini kerana jurulatih dari Korea Selatan itu dapat memerhatikan setiap gerak-geri lawan di padang latihan yang terletak berhadapan kediamannya di Hanoi.
Rahsia itu ‘terbocor’ apabila didedahkan dalam satu program televisyen terbitan Korea Selatan, Kocowa TV yang membawa penonton memasuki kediaman jurulatih berusia 59 tahun itu.
Daripada sedutan video berdurasi 1 minit yang dikongsi oleh pengguna Twitter dengan nama @FarisSyahmiAR, Hang-seo menunjukkan dari jendela biliknya dia boleh memerhatikan apa sahaja yang berlaku di atas padang.
“Ada satu kelebihan melihat dari jendela ini.
“Setiap kali ada pasukan lawan bertandang untuk menentang kami, mereka akan berlatih di sini dan saya dapat menganalisa bagaimana mereka bermain,” katanya kepada hos-hos rancangan tersebut.

Ni rumah Park Hang Seo dekat Vietnam. Bilik dia boleh nampak padang tempat training team lawan. Habaq kat Tan Cheng Hoe pi training tempat lain. Patut la haritu dekat Mydin Vietnam senang je kitai. @harimaumalaya7 @HarimauMY @mysemuanyabola @RimauXI pic.twitter.com/mMjT53lskj

— (@FarisSyahmiAR) December 13, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Hang-seo yang pernah berkhidmat di samping jurulatih dari Belanda, Guus Hiddink yang membimbing Korea Selatan hingga ke separuh akhir Piala Dunia 2002.
Pelantikannya sejak September 2017 telah membawa banyak kemajuan dalam bola sepak Vietnam, seiring tekadnya untuk membawa pasukan kebangsaan ke ranking 100 teratas dunia FIFA dan layak ke Piala Asia 2019 secara merit.
Sasaran pertamanya sudah dicapai, apabila Vietnam kini sudah berada di tangga ke-100 dunia setakat ranking terbaharu yang dikemas kini pada November, teratas dalam kalangan semua negara Asia Tenggara.
Berdepan misi hampir mustahil apabila sekadar terikat 2-2 di Bukit Jalil pada Selasa, Harimau Malaya perlu melakukan apa sahaja untuk merencatkan langkah Vietnam merampas gelaran juara Piala AFF Suzuki dari Thailand sekali gus mengesahkan statusnya sebagai Raja Asia Tenggara yang baharu.
Namun, seluruh rakyat Malaysia optimis, yakin dan percaya bahawa Harimau Malaya mampu menjelmakan keajaiban seterusnya kemenangan untuk kembali menjulang maruah bola sepak negara selepas lapan tahun ketandusan gelaran sejak kali terakhir pada 2010.
Hang-seo, jangan ingat anda sudah lihat segalanya.
Harimau masih ada kuku yang disembunyikan.
Jaga-jaga...
BACA ini pula untuk penjelasan: Harimau Malaya mampu bawa pulang Piala AFF kerana...
#akhir #bola sepak #final #Hanoi #harimau Malaya #Malaysia #Park Hang-seo #Piala AFF Suzuki #Tan Cheng Hoe #Vietnam
;