Harimau Malaya mulakan latihan Isnin depan di Johor Bahru
Astro Awani
Mac 15, 2021 07:59 MYT
Mac 15, 2021 07:59 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain Naturalisasi baharu negara, Guilherme De Paula antara muka baharu dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selama sembilan hari bermula Isnin depan di Johor Bahru.
Selain pemain pasukan Perak FC itu, bebarapa muka baharu lain antaranya Luqman Hakim Shamsudin (KV Kortrijk), Ramadan Saifullah Osman (Johor Darul Ta'zim FC), penjaga gol Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC) disenaraikan dalam 28 pemain menjalani latihan.
Namun, tonggak skuad kebangsaan, Safawi Rasid pula tidak disenaraikan kerana mengalami kecederaan pada aksi Liga Super di antara JDT dan UiTM FC Sabtu lalu.
Selain itu, dua pemain yang berkelana di luar negara, Liridon Krasniqi dan Junior Eldstal tidak dipanggil ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe ke kem latihan pusat skuad kebangsaan.
Pemilihan Luqman disambut baik peminat bola sepak negara, namun reaksi hambar ditunjukkan apabila nama De Paula diumumkan ekoran prestasi hambar pemain itu dalam Liga Malaysia ketika ini.
Kem latihan itu adalah sebagai persiapan menjelang baki tiga perlawanan terakhir kumpulan G bagi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 yang akan diadakan secara berpusat di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun.
Cheng Hoe juga mengekalkan seramai 17 pemain dari skuad 23 ketika menentang Thailand dan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada November tahun lalu.
Sebelum ini, Cheng Ho pernah menyatakan hasrtanya untuk menguji lebih ramai pemain baru dalam kem latihan pusat yang dirancang diadakan Januari lalu sebelum dibatalkan ekoran wabak COVID-19 melanda negara.
Namun, keputusannya kali ini jelas menunjukkan beliau enggan bereksprimen sebaliknya mahu menafaatkan persiapan skuad negara walaupun kelayakan berkenaan ditangguhkan pada Jun.
#harimau Malaya
#Guilherme de Paula
#Luqman Hakim Shamsudin
#Ramadan Saifullah Osman
#Rahadiazli Rahalim
#Tan Cheng Hoe