Harimau Malaya mampu juarai Pestabola Merdeka 2023 - Reduan Abdullah

Bernama
Oktober 7, 2023 00:51 MYT
Selepas India, Harimau Malaya akan berdepan sama ada Palestin atau Tajikistan dalam aksi final atau penentuan tempat ketiga pada 17 Okt. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Bekas pemain bola sepak kebangsaan Reduan Abdullah optimis Harimau Malaya mampu menjuarai kejohanan Pestabola Merdeka 2023 berdasarkan peningkatan prestasi yang ditampilkan oleh skuad negara itu baru-baru ini.
Berdepan aksi pertama menentang India Jumaat ini, Reduan yang pernah beraksi dalam perlawanan persahabatan Selangor XI menentang Boca Juniors di Stadium Merdeka pada 1982 bersama Datuk Mokhtar Dahari, yakin kelebihan berpihak kepada skuad kendalian Kim Pan Gon.
"Insya-Allah kalau ada peluang memang optimis untuk jadi juara. Saya tengok dari segi permainan, banyak peningkatan walaupun dilihat perlawanan menentang India nanti agak sengit," katanya.
Beliau ditemui pemberita sebelum beraksi pada perlawanan Amal Uniti Pestabola Merdeka 2023 antara legenda Harimau Malaya menentang selebriti Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras yang berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Selepas India, Harimau Malaya akan berdepan sama ada Palestin atau Tajikistan dalam aksi final atau penentuan tempat ketiga pada 17 Okt.
Bekas pemangku Ketua Jurulatih Melaka United musim 2022 Mohd Asri Ninggal, yang turut beraksi malam Sabtu, pula memuji peningkatan prestasi yang ditonjolkan oleh pasukan negara.
"Dari segi ranking, Harimau Malaya sudah melonjakkan kedudukan. Pada kejohanan menentang India kelak, saya kira perlawanan ini 50-50 namun ia merupakan pendedahan yang baik kepada pasukan kita untuk membuat persiapan dalam pusingan akhir Piala Asia di Qatar Januari depan," katanya.
-- BERNAMA
#Pestabola Merdeka #harimau Malaya #pusingan akhir #peningkatan prestasi
;