Harimau Malaya langkah kanan aksi sulung Piala AFF 2018

Bernama
November 8, 2018 04:36 MYT
Antara aksi dalam perlawanan aksi sulung Kumpulan A di Stadium Olimpik, Phnom Penh, pada Khamis malam. - AP
SKUAD Harimau Malaya memulakan kempen Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 dengan langkah kanan selepas menewaskan Kemboja 1-0 pada aksi sulung Kumpulan A di Stadium Olimpik, Phnom Penh, Khamis malam.
Beraksi di hadapan kira-kira 30,000 penyokong tuan rumah, barisan anak buah Tan Cheng Hoe sedikit bergelut untuk mendapatkan rentak permainan di awal perlawanan dengan menyaksikan pasukan bimbingan Felix Agustin Gonzalez Dalmas lebih menguasai bola.
Namun, selepas 20 minit perlawanan, barisan serangan negara mula mengasak kubu Kemboja menerusi rembatan Muhammad Safawi Rasid dari dalam kotak penalti yang terkena tiang sebelah kanan gawang pasukan tuan rumah.
Penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha membuka tirai jaringan pada minit ke-30 menerusi tandukan yang menewaskan penjaga gol Kemboja, Um Vichet, hasil gerakan menarik ketua pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak yang bijak melakuan hantaran ke dalam kotak penalti.
Tersentak dengan jaringan itu, pasukan terkenal dengan jolokan Angkor Warriors itu terus melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah kubu negara, namun penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat tenang mengawal gawang untuk skuad negara mendahului 1-0 pada separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Cheng Hoe melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Norshahrul dan Mohamad Zaquan dengan memasukkan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi dan Ahmad Hazwan Bakri bagi menambah cengkaman di barisan hadapan.
Beberapa peluang berjaya dicipta jentera serangan negara menerusi Muhammad Shahrel dan Muhammad Safawi, namun ketumpulan penyudah menjadi penghalang buat skuad Harimau Malaya menggandakan jaringan.
Sementara pasukan Kemboja pula terus buntu mencari gol penyamaan sehingga ke wisel penamat.
Kemenangan itu menyaksikan skuad negara mengutip tiga mata penuh dan misi mencari tiga mata berikutnya akan diteruskan pada 12 Nov ini, apabila skuad negara bakal melayan kunjungan Myanmar pada perlawanan kedua peringkat kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Untuk rekod, Malaysia hanya muncul juara kejohanan itu pada 2010 di bawah bimbingan Datuk K. Rajagobal, selepas skuad negara menewaskan tuan rumah bersama, Indonesia 4-2 secara agregat dalam dua aksi final.
-- BERNAMA
#bola sepak #harimau Malaya #Kemboja #Malaysia #Piala AFF
;