Harimau Malaya kini ranking ke-134 dunia

Bernama
Julai 18, 2024 18:16 MYT
Harimau Malaya mengumpul keseluruhan 1,107.58 mata untuk meningkat daripada posisi ke-135 dunia yang dihuni sejak 20 Jun lepas. - Gambar/ FAM
KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya melonjak satu anak tangga untuk menduduki tempat ke-134 dunia berdasarkan ranking terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini.
Mengikut laman web www.fifa.com, skuad kendalian Kim Pan Gon mengumpul keseluruhan 1,107.58 mata untuk meningkat daripada posisi ke-135 dunia yang dihuni sejak 20 Jun lepas.
Kali terakhir skuad kebangsaan membuat penampilan ialah pada saingan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan masing-masing seri 1-1 dengan Kyrgyzstan dan mengatasi Taiwan 3-1, bulan lepas.
Mereka seterusnya akan membuat penampilan pada saingan Pestabola Merdeka 2024 dijadual berlangsung dari 2 hingga 10 Sept di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di sini yang menyaksikan tiga pasukan lain telah mengesahkan penyertaan iaitu juara bertahan Tajikistan, Lebanon dan Filipina.
Bagaimanapun, baru-baru ini Malaysia dikejutkan apabila Kim Pan Gon mengumumkan peletakan jawatannya selaku ketua jurulatih skuad bola sepak lelaki kebangsaan berkuat kuasa serta-merta atas alasan komitmen peribadi.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi seterusnya mengumumkan Penolong Ketua Jurulatih Pau Marti Vicente, 41, dari Sepanyol dilantik sebagai Pemangku Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya dengan dibantu seorang lagi Penolong Ketua Jurulatih Kebangsaan E. Elavarasan.
Selain Penolong Jurulatih Park Bobae, Jurulatih Penjaga Gol Cho Junho, Jurulatih Kecergasan Jihyeon Park dan Jurulatih Analisis Prestasi Lim Jaehun akan terus kekal membantu Pau Marti dan Elavarasan berdasarkan kontrak masing-masing.
-- BERNAMA
#harimau Malaya #ranking dunia #FIFA #Kim Pan-gon
;