Harimau Malaya kalah tipis
Astro Arena
November 17, 2015 02:00 MYT
November 17, 2015 02:00 MYT
Aksi lebih bermaruah ditampilkan skuad Harimau Malaya sebelum tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Malaysia yang didenda bermain di stadium tanpa penyokong oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akibat kekecohan penonton ketika pertemuan dengan Arab Saudi pada 8 September, berjaya bangkit daripada kekalahan 0-6 kepada Palestin pada Khamis, untuk memberi tentangan lebih bermakna kepada UAE.
Skuad kendalian jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee yang kini berada di ranking ke-171 dunia turut berjaya melupakan kekalahan memalukan 0-10 kepada UAE, pasukan ranking ke-67, di Stadium Mohammed Zayed, Abu Dhabi pada 3 September, dengan menunjukkan semangat juang yang lebih tinggi.
"Pemain menunjukkan keserasian yang lebih baik selain menampilkan disiplin tinggi untuk mengikut perancangan yang diatur," kata Kim Swee.
Malaysia mendapat peluang untuk mendahului seawal minit ke-16, namun cubaan Mohamad Aidil Zafuan melambung tinggi di sudut kanan gawang UAE.
Empat minit kemudian UAE berjaya mendahului Malaysia apabila cubaan Omar Abdulrahman dari luar kotak penalti melencong masuk melepasi penjaga gawang, Mohd Izham Tarmizi.
Keadaan menjadi sedikit tegang pada masa kecederaan babak pertama apabila Habib Al-Fardan mengasari Matthiew Davies yang menyebabkan beberapa pemain Malaysia dan UAE bertindak tolak-menolak.
Pengadil perlawanan Masaaki Toma dari Jepun melayangkan kad kuning kepada Habib atas kesalahan itu dan keputusan 0-1 kekal sehingga tamat babak pertama.
Enam minit selepas babak kedua bermula, skuad kendalian Mahdi Ali menambahkan jaringan menerusi penyerang berbisa, Ahmed Khalil.
Bagaimanapun, skuad Harimau Malaya yang tidak berputus asa berjaya mengurangkan jurang melalui pengantin baru, Baddrol Bakhtiar yang pantas menanduk masuk bola sepakan percuma kapten pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-58.
Malaysia yang sudah pun gagal melayakkan diri ke pusingan seterus untuk kempen Piala Dunia 2018 akan berkunjung ke Arab Saudi pada Mac depan bagi melengkapkan jadual kelayakan sambil menghidupkan sisa peluang ke Piala Asia 2019.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Timor Leste dibelasah 10-0 oleh Arab Saudi.