Harimau Malaya kaku di Doha

Bernama
Februari 6, 2013 06:47 MYT
Malaysia menampilkan persembahan hambar pada pusingan kelayakan Piala Asia 2015 apabila kalah 2-0 kepada Qatar pada perlawanan Kumpulan D di Stadium Al-Sadd, Doha, Qatar, pada Rabu.
Skuad Harimau Malaya, yang membuka kempen tanpa kelibat beberapa pemain utama termasuk penyerang Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Safee Sali, nyata gagal menandingi setiap gerakan pantas pasukan lawan.
Peluang terbaik untuk skuad negara menjaringkan gol pembukaan hadir pada minit ke-20 namun tandukan Amri Yahyah hasil hantaran silang oleh Khyril Muhymeen Zambri dari sebelah kanan padang sedikit tersasar dari pintu gol pasukan tuan rumah.
Bersambung separuh masa kedua, kedua-dua saling berbalas serangan namun Qatar terlebih dahulu berjaya berada di depan pada minit ke-54.
Gol tersebut berpunca daripada sepakan percuma yang diambil oleh Khalfan Ibrahim yang terkena barisan pertahanan negara sebelum membias ke sebelah kanan pintu gol Malaysia yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.
Kelekaan barisan pertahanan negara pada minit-minit akhir permainan membawa padah apabila skuad bimbingan Fahad Thani itu menambah gol kedua menerusi jaringan pemain gantian, Yusef Ahmed.
Jurulatih negara Datuk K.Rajagobal dijangka memanggil semula kapten pasukan Darul Takzim FC, Safiq Rahim, yang digantung satu perlawanan, bagi memperkuatkan jentera tengah skuad Harimau Malaya menjelang aksi kedua kumpulan D menentang Yemen pada 22 Mac ini di Stadium Shah Alam.
Dalam satu lagi perlawanan kumpulan D, Bahrain mengalahkan Yemen 2-0 di Stadium Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dua gol pasukan bimbingan Gabriel Metralla itu dijaringkan oleh pemain pertahanan, Faouzi Aaish pada minit ke-49 dan penyerang, Saad Al Amer pada minit ke-85.
Mereka akan melayan pasukan Qatar pada perlawanan kedua Kumpulan D di Stadium Nasional Bahrain di Manama pada 22 Mac ini.
Barisan Pemain
QATAR: Qasem Burhan, Abdelkarim Hassan (Mohamed El Sayed), Ibrahim Majed, Ibrahim Al Ghanim (kapten), Khalfan Ibrahim, Talal Al Bloushi, Abdulaziz Al Sulaiti, Khaled Muftah, Hamid Ismaeil, Hasan Al Haydos (Yusef Ahmed), Sebastian Suria (Magid Mohamed).
MALAYSIA: Khairul Fahmi Che Mat, Mahalli Jasuli, Asraruddin Putra Omar (Amiridzwan Taj Tajudin), Mohamad Fadhli Mohd Shas, Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak (kapten), K.Reuben, Mohd Shakir Shaari, Mohd Khyril Muhymeen Zambri (Abdul Hadi Yahya), Azammuddin Akil, Mohamad Ashari Samsudin (Norfarhan Muhammad), Amri Yahyah.
#Doha #harimau Malaya #Malaysia #pusingan kelayakan Piala Asia 2015 #Qatar
;