Harimau Malaya jumpa Kemboja, Maldives sebagai aksi pemanas badan
Afiezy Azaman
Oktober 31, 2022 11:50 MYT
Oktober 31, 2022 11:50 MYT
KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya akan berdepan perlawanan persahabatan dengan Kemboja dan Maldives sebagai aksi pemanas badan menjelang Piala Mitsubishi Electric AFF 2022.
Menurut Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon, skuad negara akan bertemu Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 Disember manakala Maldives pada 14 Disember di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Katanya, perkara itu diputuskan selepas berbincang dengan beberapa pasukan lain serta melakukan penilaian secara dalaman daripada pelbagai aspek.
"Biarpun kedua-dua pasukan ini berada di kedudukan lebih rendah berbanding skuad Harimau Malaya di ranking 146 dunia (Kemboja ranking 177, Maldives ranking 154), pemilihan ini adalah berpandukan susunan perjalanan pasukan di sepanjang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 nanti.
"Malaysia akan memulakan kempen bertemu Myanmar (ranking 158) pada Rabu, 21 Disember di tempat lawan, sebelum bertemu Laos (ranking 187) pada Sabtu, 24 Disember 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil,
"Pasukan seterusnya akan berdepan Vietnam (ranking 96) 27 Disember di tempat lawan dan aksi terakhir kumpulan menentang Singapura (ranking 160) pada 3 Januari, di Stadium Nasional, Bukit Jalil," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Pan Gon berkata, Kemboja merupakan salah satu pasukan dari Kumpulan A yang mana pemilihan pasukan ini sebagai lawan pada aksi pemanas badan dilihat bersesuaian dalam usaha untuk mengenal pasti perkara yang perlu diperbaiki selepas pasukan kembali berkumpul untuk kem latihan pusat.
Jelasnya, Skuad Harimau Malaya telah bermain perlawanan menentang Thailand dan Filipina tahun ini dan percaya Kemboja akan menjadi pilihan lawan yang baik untuk persiapan.
"Bagi pertemuan dengan Maldives, lawan yang biarpun bukan dari Asia Tenggara tetapi merupakan juara dua kali Piala Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (SAFF) pada 2008 dan 2018, selain memiliki corak permainan yang hampir sama dengan pasukan-pasukan Asia Tenggara yang lain.
"Selain itu, Maldives memenangi kedua-dua perlawanan mereka ketika FIFA Days pada September dan merupakan salah satu pasukan terbaru yang telah menentang Laos, pasukan yang akan kita hadapi pada kejohanan nanti.