Harimau Malaya jatuh tiga anak tangga
Bernama
Oktober 26, 2023 20:43 MYT
Oktober 26, 2023 20:43 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas mengalami peningkatan secara konsisten sejak Ogos tahun lepas, skuad Harimau Malaya akhirnya jatuh tiga anak tangga dalam kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Skuad bimbingan Kim Pan Gon itu yang berada di tempat ke-134 bulan lalu, terpaksa akur jatuh ke kedudukan ke-137 apabila mengumpul keseluruhan 1,096.72 mata selepas hanya meraih 1.82 mata dalam jendela perlawanan antarabangsa FIFA dari 9 hingga 17 Okt lepas.
Pada jendela perlawanan antarabangsa itu, Malaysia menewaskan India 4-2 pada aksi pertama Pestabola Merdeka 2023 di sini, namun tewas 0-2 kepada Tajikistan di final yang juga kekalahan pertama selepas tujuh aksi.
Kemas kini ranking itu bagaimanapun tidak menjejaskan Malaysia yang kekal berada di tempat ke-24 terbaik Asia dan muncul pasukan ketiga terbaik Asia Tenggara di belakang Vietnam (94) dan Thailand ke-112.
Filipina jatuh ke kedudukan ke-138, sementara negara jiran Indonesia dan Singapura masing-masing naik dua anak tangga ke posisi ke-145 dan ke-155.
Juara Piala Dunia 2022, Argentina kekal pasukan nombor satu dunia diikuti Perancis di tempat kedua, Brazil (ketiga), England (keempat) dan Belgium melengkapkan pasukan lima teratas.
Bagi zon Asia, lima pasukan terbaik adalah Jepun yang berada di posisi ke-18, Iran (21), Korea Selatan (24), Australia (27) dan Arab Saudi ke-57.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempunyai misi untuk memastikan skuad Harimau Malaya menembusi kelompok 130 terbaik dunia pada hujung tahun ini.
Sebagai rekod, ranking Malaysia konsisten menunjukkan peningkatan sejak menghuni ranking ke-148 pada Ogos tahun lepas.
-- BERNAMA