Harimau Malaya diaibkan di Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019: 'Kalah? Biasalah tu ...'
Madiha Abdullah
November 13, 2015 08:54 MYT
November 13, 2015 08:54 MYT
Seolah-olah, sudah tiada kejutan.
Itu yang disimpulkan netizen apabila buat kesekian kalinya, Harimau Malaya diaibkan dengan kekalahan dalam pusingan akhir Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Amman di Jordan pada Khamis.
Tewas 0-6 kepada Palestin dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018, ia menyaksikan kritikan terus dilemparkan ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Sejurus selepas tamat perlawanan, laman Facebook rasmi FAM diserang dengan ribuan komen bernada sinis dan tidak kurang juga yang tanpa segan silu mencerca pengurusan FAM.
Namun, ramai yang melihat pemain tidak boleh disalahkan sepenuhnya. Sebaliknya, badan induk bola sepak nasional itu perlu menjalani 'pembedahan' dengan kadar segera supaya 'penyakit' yang dihidapi dapat dipulihkan.
Turut menerima tempias dari peminat bola sepak tanah air adalah jurulatih sementara negara, Datuk Ong Kim Swee apabila ramai yang mempersoalkan strategi taktikal yang dipraktikkannya dalam cubaan anak-anak buahnya menguasai permainan.
Dalam masa yang sama, kelibat beberapa pemain Harimau Malaya di atas padang dalam perlawanan semalam turut menimbulkan persoalan apabila mereka dilihat seolah-olah tidak bersedia menghadapi perlawanan sebesar itu.
Kekalahan ini meneruskan episod duka bola sepak negara, selepas kekalahan memalukan 0-10 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 September lalu.
Pasukan negara akan menentang UAE di Stadium Shah Alam, Selangor 17 November ini.