Harimau Malaya capai ranking terbaik dalam tempoh 17 tahun
Bernama
Jun 29, 2023 20:32 MYT
Jun 29, 2023 20:32 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia terus menunjukkan peningkatan apabila naik satu anak tangga di posisi ke-137 dalam kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Ia merupakan kedudukan terbaik Malaysia dalam tempoh 17 tahun sejak berada di posisi ke-127 pada Mei 2006.
Berdasarkan laman web www.fifa.com, peningkatan itu disumbang 9.44 mata yang diraih pasukan negara dalam dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Terengganu bulan ini, sekali gus membolehkan skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon mengumpul keseluruhan 1,091.57 mata.
Dalam dua aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus itu, anak buah Pan Gon menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 dan membelasah Papua New Guinea 10-0.
Kemas kini ranking turut menyaksikan Malaysia menghuni tempat ke-24 terbaik Asia dan keempat Asia Tenggara di belakang Vietnam (95), Thailand (113) dan Filipina yang menduduki tangga ke-135.
Negara jiran, Indonesia turun satu anak tangga di posisi ke-150 sementara Singapura kekal di tempat ke-158.
Juara Piala Dunia 2022, Argentina kekal sebagai pendahulu ranking dunia diikuti Perancis di tempat kedua, Brazil (ketiga), England (keempat) dan Belgium melengkapkan pasukan lima teratas.
Bagi zon Asia, lima pasukan terbaik adalah Jepun yang berada di posisi ke-20, Iran (22), Australia (27), Korea Selatan (28) dan Arab Saudi ke-53.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempunyai misi untuk memastikan skuad Harimau Malaya menembusi kelompok 130 terbaik dunia pada hujung tahun ini.
-- BERNAMA