Harimau Malaya buat persiapan awal
Sinar Harian
Mac 1, 2024 19:34 MYT
Mac 1, 2024 19:34 MYT
PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon mahu pemain berada dalam keadaan terbaik apabila membuat keputusan untuk mengadakan kem latihan pusat lebih awal bermula 8 Mac ini.
Menurut Pan-gon, ia perlu untuk memastikan skuad negara dalam keadaan bersedia menghadapi dua perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman di Muscat pada 21 Mac dan di Bukit Jalil pada 26 Mac.
"Kita faham pasukan-pasukan kelab sedang menjalani latihan pramusim dan pada masa sama, kalendar perlawanan antarabangsa pula hanya akan bermula dari 18 hingga 26 Mac.
"Namun, kita tetap perlu melakukan persediaan awal bagi menghadapi dua perlawanan menentang Oman ini dan atas sebab itu saya memulakan kem latihan pusat pada 8 Mac dengan memanggil sama beberapa pemain dari skuad B-23 kebangsaan," katanya dalam satu kenyataan.
Pan-gon menyenaraikan 33 pemain dan mengekalkan seramai 21 daripada 26 pemain dari skuad Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari lalu.
Pengendali dari Korea Selatan itu juga turut menyenaraikan 12 pemain baharu yang dipanggil kali ini iaitu penjaga gol Suhaimi Husin, Azam Azmi Murad dan Safwan Mazlan dari Terengganu FC; Sharul Nazeem Zulpakar, Harith Haiqal Adam Afkar, Mukhairi Ajmal Mahadi, Nooa Laine, Ahmad Zikri Khalili, Ruventhiran dan Aliff Izwan Yuslan dari Selangor FC; Haqimi Azim Rosli dari Kuala Lumpur City FC dan T Saravanan dari Sri Pahang FC.
Beliau berkata, sebahagian daripada 33 pemain ini akan melapor diri lewat iaitu pada 15 Mac dan beberapa pemain yang berusia bawah 23 tahun akan dilepaskan ke kem latihan pusat skuad B-23 kebangsaan kendalian Juan Torres Garrido.
“Selepas perbincangan dengan kelab-kelab terlibat, sebahagian pemain hanya akan melapor diri pada 15 Mac.
"Saya faham yang mereka baru saja kembali dari bercuti dan baru memulakan latihan bersama kelab, berbanding pemain-pemain lain yang telah lebih awal turun berlatih bersama kelab masing-masing," katanya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian