Harimau Malaya bangkit catat keputusan seri 2-2 berdepan Syria
Bernama
September 6, 2023 20:44 MYT
September 6, 2023 20:44 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat pasukan 100 terbaik dunia, Syria 2-2 pada perlawanan antarabangsa Tier 1 di Chengdu, China petang ini, sekali gus mempertahankan rekod tanpa kalah dalam aksi persahabatan sejak Mac lepas.
Persembahan lebih kemas dan bertenaga pada separuh masa kedua di Stadium East-Town Football Park itu, menjadi titik perubahan skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon, yang berjaya menjaringkan gol masing-masing menerusi pemain gantian Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Darren Lok.
Pada pertembungan itu yang juga aksi pertama Malaysia di tempat lawan sejak Januari lepas, pasukan negara yang berada di ranking dunia ke-136 dan Syria (ke-94) bermula garang, apabila saling berbalas serangan dalam memburu gol awal.
Usaha dilakukan Syria yang dibimbing pengendali dari Argentina Hector Cuper, akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-12 menerusi rembatan kencang Mardek Mrdkian, selepas pemain tengah Brendan Gan lambat mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.
Tersentak dengan gol awal itu, anak buah Pan Gon bangkit memperkemaskan permainan dan berjaya mencipta beberapa peluang jaringan antaranya menerusi Corbin Ong pada minit ke-15 dan Mohamad Faisal Abdul Halim (pada minit ke-28), namun berjaya diselamatkan penjaga gol Ahmad Madanieh.
Syria melebarkan jurang jaringan selepas menambah gol kedua pada minit ke-41 menerusi tandukan Yasin Alsamya, yang melepasi kawalan Corbin untuk melompat tinggi dan menanduk sepakan penjuru Mahmoud Al Mawas, sekali gus meletakkan pasukan selesa mendahului 2-0 menjelang rehat.
Bersambung separuh masa kedua, Malaysia jelas menguasai permainan berbanding pasukan lawan yang diberi julukan Qasioun Eagles itu, dengan Pan Gon menggunakan kesemua enam pertukaran pemain untuk meningkatkan lagi intensiti pasukan.
Percaturan membawa masuk Muhammad Akhyar menggantikan Arif Aiman Mohd Hanapi menjadi, apabila pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT) itu merapatkan kedudukan pada minit ke-51, dengan melepasi perangkap ofsaid untuk menyambut hantaran jauh Endrik Dos Santos.
Mohamad Faisal, Darren dan Matthew Davies, masing-masing mempunyai peluang terbaik untuk mencipta nama sebagai penjaring selepas itu, tetapi penyudah masing-masing tumpul di depan gawang.
Bagaimanapun, Darren akhirnya menceriakan kem negara apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-85, selepas menolak masuk bola muntah berpunca rembatan Muhammad Safawi Rasid yang ditampan penjaga gol gantian Taha Mousa.
Tahun ini, Malaysia mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam aksi persahabatan, masing-masing bertemu Turkmenistan, Hong Kong, Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea, selepas tewas 0-3 kepada Thailand pada separuh akhir kedua Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, Januari lepas.
Anak buah Pan Gon selepas ini akan menentang China yang menghuni ranking dunia ke-80, pada satu lagi aksi antarabangsa Tier 1 di Stadium Phoenix Hill, Chengdu, Sabtu ini.
-- BERNAMA